Apa sebenarnya punca masalah itu? Masalah kawalan kencing (Stress Urinary Incontinence - SUI) sering dikaitkan dengan kurang keyakinan diri. Kebanyakan wanita yang mengalami masalah itu akan berasa malu, mengasingkan diri dan mengurangkan aktiviti sosial. Namun, masalah terkucil ada rawatannya.

Simptom SUI ialah terkeluar air kencing apabila berlaku keadaan seperti berikut:

  • Batuk
  • Bersin
  • Ketawa
  • Berdiri
  • Pergerakan seperti keluar dari kereta
  • Mengangkat berat
  • Bersenam
  • Sewaktu melakukan hubungan intim.

Simptom itu tidak semestinya berlaku setiap hari. Aktiviti yang menambah tekanan pada pundi kencing akan menyebabkan seseorang itu terkucil lebih-lebih lagi jika pundi kencing penuh dengan air kencing.

Bagaimana pundi kencing berfungsi?

Air kencing yang dihasilkan oleh buah pinggang akan disimpan di dalam pundi kencing. Apabila seseorang kencing, air kencing akan keluar dari pundi kencing melalui tiub yang dikenali urethra. Bagi wanita, lubang urethra berada di atas faraj.

Apabila pundi kencing telah diisi sepenuhnya dengan air kencing, maklumat akan dihantar ke otak melalui sistem saraf dan kita berasa hendak membuang air kecil. Otak pula akan menghantar maklumat ke otot-otot lantai pelvis dan otot urethra supaya mengendur dan pada masa yang sama, otot pundi kencing akan menguncup supaya air kencing boleh keluar.

Berlakunya masalah terkucil adalah kerana terdapat kelemahan pada otot dan tisu yang menyokong pundi kencing (pelvic floor muscles) dan otot di sekitar sphincter urethra (tempat keluarnya air kencing dari pundi kencing). Pundi kencing akan membesar semasa air kencing yang dihasilkan oleh buah pinggang terkumpul. Kebiasaannya, sphincter pada urethra akan tertutup sehingga tiba waktu untuk kencing. Tetapi sekiranya sphincter menjadi lemah, sebarang tekanan pada kawasan abdomen seperti bersin, mengangkat berat atau ketawa akan menyebabkan air kencing terkeluar.

Masalah kelemahan otot lantai pelvis dan sphincter urethra pula mungkin berpunca daripada trauma sewaktu proses bersalin. Oleh itu, masalah terkucil boleh bermula sebaik sahaja selepas bersalin atau beberapa tahun kemudian.

Faktor-faktor lain yang menyumbang pada masalah ini termasuk:

  • Penyakit batuk kronik dan bersin.
  • Obesiti. Ini kerana lemak berlebihan menambah tekanan terhadap abdomen dan pundi kencing.
  • Merokok yang menyebabkan kerap batuk.
  • Aktiviti impak tinggi seperti berlari atau melompat.
  • Menopos. Apabila wanita telah menopos, hormon estrogen dan testosterone berkurangan menyebabkan otot lantai pelvis dan sphincter urethra menjadi lemah.
  • Proses kelahiran normal melalui faraj menambah risiko terkucil. Begitu juga jika bersalin dengan bantuan forcep. Kesan trauma berlebihan boleh berlaku pada otot lantai pelvis dan berisiko mendapat masalah terkucil.
  • Jika pernah melakukan pembedahan pelvis seperti hysterectomy (pembuangan rahim).

Rawatan Masalah terkucil boleh dirawat. Sekiranya masih di peringkat awal, rawatan berikut boleh dilakukan untuk memulihkan masalah terkucil:

1. Senaman kegel atau kemut.

Senaman ini adalah seperti menahan perjalanan air kencing sewaktu tengah kencing. Kemut selama lima saat dan rehatkan otot lima saat. Ulangi 10 kali dan lakukan sekurang-kurangnya tiga kali sehari.

2. Rawatan hormon. Biasanya ujian darah akan dilakukan terlebih dahulu. Sekiranya paras hormon estrogen atau testosterone rendah, ia boleh diganti dengan hormon bioidentikal dalam bentuk krim sapuan atau dalam bentuk pil.

3. Rawatan Radiofrekuensi. Rawatan ini dilakukan sewaktu tiada haid. Ujian pap smear diadakan terlebih dahulu untuk memastikan kesihatan pangkal rahim. Alat radiofrekuensi dimasukkan ke dalam faraj untuk memanaskan bahagian dalam faraj ke suhu 41 darjah Celsius. Rawatan ini tidak menyakitkan tetapi cuma berasa suam di dalam faraj. Rawatan mengambil masa 20 hingga 30 minit sehingga semua bahagian di dalam faraj sampai ke tahap 41 darjah Celsius. Rawatan radiofrekuensi ini akan menyebabkan lebih banyak pembentukan kolagen yang mampu menguatkan otot lantai pelvis dan sphincter urethra. Rawatan ini juga dapat mengetatkan faraj bagi wanita yang mengalami masalah kelonggaran faraj selepas bersalin atau menopos. Setelah selesai rawatan radiofrekuensi, aktiviti harian boleh dilakukan seperti biasa termasuk hubungan intim. Rawatan perlu diulangi sebulan sekali sebanyak tiga kali dan diulangi jika perlu.

4. Rawatan laser. Seperti rawatan radiofrekuensi, laser dimasukkan ke dalam faraj dan dinding faraj dilaser. Proses ini menyebabkan badan menghasilkan lebih banyak kolagen. Pesakit yang menjalani rawatan laser faraj memerlukan jangkamasa satu minggu untuk sembuh. Dalam lingkungan waktu ini, pesakit tidak dibenarkan melakukan hubungan intim kerana ditakuti luka laser akan dijangkiti kuman. Rawatan laser vagina perlu diulangi jika perlu.

5. Pembedahan. Jika kesemua rawatan di atas tidak berhasil atau tahap kelemahan otot lantai pelvis dan sphincter urethra sudah di tahap serius, maka pembedahan mungkin diperlukan.

Komplikasi

Jika tidak dirawat ia akan menyebabkan:

1. Masalah depresi kerana wanita terlibat akan sering mengelak untuk keluar beriadah atau bersosial. Mereka juga akan berasa kurang keyakinan diri kerana perlu memakai tuala wanita atau lampin dewasa.

2. Masalah urge incontinence atau overactive bladder iaitu keadaan di mana seseorang itu tidak dapat menahan kencing sebaik sahaja terasa hendak kencing

3. Masalah radang kulit di kawasan di mana air kencing terkena pada kulit.

PENULIS adalah pengamal perubatan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dan pengasas Timeless Clinic yang beroperasi di J-08-1, Jalan SS6/18, Dataran Glomac Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya, Selangor. Beliau boleh dihubungi di [email protected]