Sebahagian besar daripada produk pelembap penjagaan kulit untuk kelihatan lebih muda dan kurang tanda penuaan atau kurang kesan akibat matahari dan pencemaran udara di pasaran menggunakan ekstrak plasenta dan bulu biri-biri.

Namun, menurut Dr. Arun, pihaknya mendapati kos mengekstrak keratin daripada bulu biri-biri agak mahal.

Oleh kerana terdapat banyak industri penyembelihan ayam di negara ini dan hampir empat juta tan bulu ayam setiap tahun menjadi bahan buangan yang tidak dikomersialkan, ia memberi peluang kepada pihaknya menjalankan penyelidikan. Pihaknya mendapati bulu ayam terdiri daripada 91 peratus protein, lapan peratus air dan satu peratus protein keratin yang mengandungi sulfur dan struktur berserat.

Bulu ayam mempunyai keratin yang istimewa dan mempunyai 20 jenis protein.

Protein yang terhasil dirawat beberapa hari menggunakan kaedah dianalisis untuk menyingkirkan bahan yang tidak sepatutnya hadir dalam penghasilan kosmetik.

Katanya , anak syarikat UMP iaitu UMP Keraglow Sdn. Bhd. mengkomersialkan keratin daripada bulu ayam dan dianugerahkan QB3 Startup Acknowledgement Certificate pada Anugerah Inovasi Bioekonomi 2017.

“Pada masa ini kami mengeluarkan 350 liter keratin setiap hari dan kapasitinya dijangka meningkat kepada 1,000 liter sehari dalam tempoh dua tahun lagi.

“Kita juga menerima permintaan dari luar negara dan merancang menjalankan kerjasama bersama rakan strategik lain atau menjadikannya sebagai francais,” katanya.

Selain itu, dalam tempoh 10 tahun penyelidikan produk juga telah didaftarkan paten di negara ini dan Amerika Syarikat bagi kaedah pengekstrakkan dan pembangunan produk kosmetik dan farmaseutikal.

Syarikat berkenaan juga merupakan kilang keratin halal pertama di negara ini yang membangunkan pelbagai produk kosmetik serta farmaseutikal daripadanya.

Penyelidikan turut melibatkan siswazah antarabangsa iaitu Basma Yahya Alashwal (Yemen), Mohamed Saad Bala Husain (Sudan), Triveni Soubam (India) dan mahasiswa UMP dari Malaysia, Vanessa Alberto dan Liyana Maryam Madzelan.