Erti kemurungan

Kemurungan adalah gangguan atau kecelaruan emosi yang dicirikan oleh perasaan sedih, hilang minat dalam segala hal, hilang harapan (hopelessness), tidak boleh dibantu (helplessness), tiada kawalan terhadap persekitaran atau keadaan, pemikiran yang negatif dan tidak berfungsi serta tubuh yang lesu atau kurang aktif. Mereka yang murung mengalami perasaan sedih dan tiada harapan secara bertubi-tubi dan hilang minat dalam aktiviti yang suatu ketika dahulu sangat diminati disamping masalah emosi. Seseorang individu boleh juga mengalami simptom fizikal seperti masalah sakit kronik dan pencernaan. Untuk didiagnosis dengan kemurungan, simptom mestilah wujud sekurang-kurangnya dua minggu.

Menurut perspektif psikologi kaunseling, tanda-tanda boleh dikesan daripada tiga aspek iaitu perasaan, emosi dan tingkah-laku. Dari segi perasaan atau emosi wujud perasaan sedih yang kadang-kala berlarutan dan terlampau, jiwa kosong, tiada harapan dan tiada siapa yang boleh membantu dirinya. Perasaan sebegini kerap berlaku dan kadang-kala tanpa sebab yang nyata dan munasabah. Contoh kerap menangis dan meratapi nasib diri. Dari segi pemikiran pula, wujud pemikiran negatif, tidak rasional dan tidak membantu fungsi aktiviti harian. Contohnya dalam rumah tangga, isteri yang sentiasa dipersalahkan akan berfikir ‘aku memang bersalah’, ‘aku memang selalu buat salah’.

Contoh dalam kalangan pelajar pula, ‘aku memang bodoh’ dan tidak ada gunanya lagi berusaha sebab cikgu, kawan-kawan dan ibu ayah selalu mengatakan aku bodoh.

Dari segi tingkah laku pula, seseorang itu kerap menyendiri, tidak atau kurang bergaul, tidak melibatkan diri dalam aktiviti dan suka berhibernasi kerana reaksi tubuh yang tidak aktif. Tetapi kadang-kala seseorang yang murung boleh juga bertindak agresif dengan orang lain atau harta benda. Yang pasti, tingkah lakunya menjadi sangat sukar untuk dijangka atau diramalkan kerana tiada konsistensi.

Kaedah kesan kemurungan

Pakar psikologi kognitif dari Barat, Aaron Beck menyatakan lima keadaan yang boleh membantu kita mengesan kemurungan iaitu:

  • Kerap mempunyai pandangan negatif terhadap diri sendiri.
  • Sering mengkritik dan menyalahkan diri sendiri.
  • Sentiasa mempunyai tanggapan negatif terhadap sesuatu kejadian yang berlaku dan kebiasaannya tidak mengganggu dirinya.
  • Berpandangan bahawa masa hadapan adalah muram dan berunsur negatif.
  • Berasakan bahawa tanggungjawab dan aktiviti harian terlalu berat untuk dipikul.

Simptom kemurungan

Antara simptom kemurungan adalah seperti berikut:

  • Hilang minat atau kehendak pada perkara-perkara yang selama ini dibuat atau suka untuk melakukannya.
  • Berasa sedih atau kesunyian yang amat sangat.
  • Mudah menangis tanpa sebarang sebab.
  • Hilang daya atau tenaga serta berasa lemah yang amat sangat.
  • Rasa bersalah yang amat sangat atau hilang keyakinan diri.
  • Hilang selera makan dan kehilangan berat badan yang ketara.
  • Berasa mati itu lebih baik atau lebih kronik lagi sentiasa berfikir untuk membunuh diri.
  • Bermasalah untuk membuat keputusan.
  • Sukar untuk tidur atau apabila terjaga, sukar untuk tidur kembali.

Dengan adanya maklumat berkenaan tanda-tanda atau simptom kemurungan, maka mudah bagi kaunselor atau ahli keluarga mengesan sama ada klien atau seseorang yang dikenali menghadapi kemurungan.

Punca kemurungan

Terdapat banyak teori yang menghuraikan bagaimana sindrom kemurungan boleh berlaku. Antara punca kemurungan yang dijelaskan oleh teori sedia ada adalah:

  • Faktor daripada tekanan diri, kurang yakin pada diri sendiri dan estim kendiri yang rendah.
  • Kehilangan daya kawalan ke atas perlakuan-perlakuan individu (learned helplessness).
  • Ketidakstabilan emosi. Pengaruh emosi seperti perubahan emosi kerana menghadapi tekanan hidup sering kali menjadi punca masalah kemurungan.

Selain faktor di atas, faktor yang melibatkan biologi merangkumi genetik, biokimia, dan hormon juga boleh menyebabkan kemurungan. Ia berlaku lebih kerap kepada seseorang yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap kemurungan. Oleh itu, ada kemungkinan kemurungan boleh diwarisi melalui genetik atau baka keturunan. Ada juga mengatakan bahawa kemurungan disebabkan fungsi otak kita yang mana melibatkan fungsi neurotransmitters tertentu (yang mempengaruhi perasaan gembira dan suka), atau ketidakseimbangan dalam kuantiti neurotransmitter tertentu.

Justeru, kita harus sentiasa mencari keseimbangan dalam aktiviti yang melibatkan fungsi minda dan aktiviti yang melibatkan tubuh badan. Selain itu, perubahan dalam pengeluaran hormon dan kefungsian hormon boleh menyebabkan kemurungan. Contohnya, ibu-ibu lepas bersalin ada kecenderungan untuk menjadi murung disebabkan perubahan hormon.

Seterusnya faktor situasi atau persekitaran kerap menyebabkan kemurungan dalam masyarakat kita sekarang. Ia melibatkan trauma, perubahan besar atau mendadak dalam kehidupan dan keperitan hidup. Contohnya, kehilangan orang tersayang, hilang pekerjaan dan menghadapi masalah kewangan boleh menyebabkan seseorang menjadi murung.