Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, pemantauan pihaknya mendapati banyak pengendali makanan di bazar Ramadan tidak mematuhi etika pengendalian makanan seperti memakai sarung tangan, apron, atau penutup kepala.

Malah, pihaknya juga tertanya-tanya sekiranya individu yang mengendalikan gerai itu mendapat suntikan mencegah tifoid selain telah menghadiri kursus wajib mengenai pengendalian makanan.

“Kita perlu mempertimbangkan kemungkinan makanan yang disimpan pada suhu bilik di dalam periuk atau bekas makanan bagi lebih daripada empat jam (dengan andaian dari 3 petang hingga 7 malam) dan pencemaran silang daripada penggunaan sendok dan penyepit untuk makanan yang berbeza.

“Oleh itu, adalah tidak mengejutkan sampel makanan yang dikumpulkan daripada beberapa gerai sebelum ini menunjukkan pencemaran oleh bakteria patogenik berbahaya seperti E.coli dan beberapa daripadanya mempunyai Salmonella,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, kata beliau, pihaknya juga bimbang dengan beberapa laporan berita yang hampir setiap tahun mendapati bakteria patogenik ditemukan di dalam sampel makanan yang diambil secara rawak di gerai bazar Ramadan.

Tambah beliau, gerai itu juga terletak di kawasan terbuka yang terdedah kepada debu dan menarik perhatian lalat.

Kebimbangan juga, jelasnya, bukan hanya dari aspek makanan dimasak yang terbiar pada suhu bilik dalam tempoh jangka masa panjang, tetapi sayuran sebagai ulam dan daging mentah yang diperap untuk ayam percik dan sate.

“Sehubungan itu, kita menggesa pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mendedahkan kepada orang awam berhubung langkah yang sedang diambil untuk memastikan makanan yang dijual di gerai makanan sementara ini adalah selamat serta jika gerai-gerai ini berlesen.

“Pemeriksaan perlu dijalankan di seluruh negara untuk memastikan pengendali gerai ini mematuhi undang-undang makanan dan tindakan perlu diambil untuk mengelakkan wabak penyakit di seluruh negara,” katanya. - UTUSAN ONLINE