"Mulanya saya cuma rasa sengal dan pedih sekitar bahu dan lengan kiri tetapi lama-kelamaan pergerakan tangan kiri saya mula terhad. Saya sukar mengangkat tangan menyebabkan saya sukar untuk menyikat rambut sendiri dan ini bermakna saya tidak boleh mengusap kepala sendiri. Banyak kerja yang saya tidak boleh lakukan kerana pergerakan tangan terhad. 

“Tidak tahan menanggung kesakitan, pada bulan April 2017 saya mendapatkan rawatan di klinik panel dan doktor mengesahkan saya menghidap bahu beku atau frozen shoulder dan saya diberikan surat rujukan untuk menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Colombia Asia, Cheras dua kali seminggu selama dua bulan.

“Di Hospital Colombia Asia Cheras saya mendapat rawatan dari Pakar Runding Ortopedik dan Pembedahan Sendi, Dr. Azfar Rizal Ahmad,” katanya.

Dr. Azfar Rizal Ahmad berkata, bahu beku atau frozen shoulder adalah keadaan di mana bahu menjadi keras atau membeku disebabkan radang pada kapsul atau kantung bahu.

“Biasanya kapsul berkenaan akan menebal dan mengecut seakan-akan mencekik bahu menyebabkannya tidak boleh bergerak dan mengganggu pergerakan seharian seperti mengangkat tangan untuk memakai baju, tudung atau menyikat rambut.

“Biasanya pesakit mengalami kesakitan pada waktu malam dan keadaan ini berterusan dengan penyakit lain seperti urat bahu tersepit atau tendon terkoyak dan keadaan ini menjadikan keadaan pesakit bertambah buruk” katanya semasa ditemui di Hospital Colombia Asia, Cheras baru-baru ini.

Dr. Azfar berkata, bahu beku biasanya melibatkan pesakit berusia 40 hingga 69 tahun terutamanya wanita tetapi ada juga lelaki yang mengalami masalah berkenaan. Bahu beku biasanya berlaku pada satu 
bahu tetapi dalam kes tertentu boleh berlaku pada kedua-dua bahu.

“Punca terjadinya bahu beku tidak diketahui tetapi faktor risiko adalah 10 peratus biasa berlaku pada pesakit diabetes. Sejarah pesakit yang tidak boleh menggerakkan bahu mungkin kerana patah tulang tangan, tendon koyak atau apa-apa kecederaan yang menyebabkan pesakit tidak boleh menggerakan bahu.

“Selain itu mungkin disebabkan oleh penyakit sistemik lain seperti hipotiroid atau rhemotid artritis,” katanya.

“Kebanyakan pesakit lebih gemar rawatan konservatif tetapi ada pesakit memerlukan pembedahan jika penyakit bahu beku telah lama atau pesakit telah mencuba pelbagai rawatan seperti suntikan, ubat dan fisioterapi tetapi semuanya gagal.

“Pembedahan dilakukan secara ostroterapi iaitu sendi dan kamera di mana empat hingga lima lubang berukuran 1 cm ditebuk dan dimasukkan kamera bagi melihat lapisan kapsul. Semua tisu bahu diperiksa untuk pastikan masalah tendon koyak serta melepaskan kapsul tebal sekeliling sendi 360 darjah,” katanya.

Selain itu Dr. Azfar berkata, pesakit juga boleh melakukan rawatan manipulasi sendi yang dijalankan di bawah bius penuh tetapi kaedah ini kurang berkesan kerana biasanya sakit akan kembali lagi.

“Apa pun mereka yang menghadapi masalah sakit bahu sehingga tidak boleh mengangkat tangan atau melakukan kerja-kerja ringan dengan tangan supaya segera mendapatkan rawatan sebelum keadaan bertambah buruk,” katanya.

INFO

Simptom bahu beku

Fasa 1 (amat sakit)

  • sakit dan kejang dalam tempoh dua hingga sembilan bulan
  • biasanya pesakit mengadu sakit
  • bahu semakin beku dan tidak boleh digerakkan adalah yang luar biasa.

- Fasa 2 (beku)

  • tempoh empat hingga 12 bulan
  • sakit berkurangan
  • simptom lebih kepada beku
  • pesakit mula perasan mereka tidak boleh mengerakkan bahu

- Fasa 3 (pencairan)

  • mengambil masa enam hingga 24 bulan
  • bahagian bahu lembut semula
  • simptom ini berlanjutan sehingga tiga tahun atau 36 bulan
  • kadangkala pesakit boleh baik sendiri walaupun tidak jumpa doktor tetapi pemulihan tidak 100 peratus

Diagnosis

Pesakit yang mengalami masalah seperti sukar angkat tangan atau tanda-tanda seperti bahu beku perlu mendapatkan rawatan pakar ortopedik untuk diagnosis:

  • Penilaian untuk simptom, berapa lama dan risiko
  • Pemeriksaan berapa beban yang boleh diangkat
  • pemeriksaan x-ray untuk tulang dan MRI untuk tisu lembut.

Rawatan

Selepas pakar perubatan mendiagnosis pesakit, mereka boleh mencadangkan rawatan yang sesuai sama ada:

  • konservatif tanpa pembedahan
  • pembedahan

Cara atasi sakit

Pesakit akan diberikan:

  • ubat anti radang
  • suntikan steroid tetapi kaedah ini sukar memastikan sama ada ubat sampai ke kapsul
  • fisioterapi
  • rawatan regangan untuk lembutkan sendi bahu