Walaupun kanser paru-paru selalunya dihidapi oleh perokok tetapi tidak bermakna mereka yang tidak merokok boleh selamat daripada penyakit ini. Laporan Malaysian Study on Cancer Survival (MySCan) mendapati bahawa kanser paru-paru adalah kanser yang paling membimbangkan dalam kalangan rakyat Malaysia. Purata kadar kelangsungan hidup hanyalah 11 peratus, yang terendah dalam kalangan pesakit yang menderita pelbagai jenis kanser. Kebanyakan penghidap ialah lelaki iaitu 69 peratus manakala wanita sebanyak  31 peratus.

Menurut Pakar Perunding Onkologi Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Dr. Adlinda Alip, kanser paru-paru adalah penyebab utama kematian berkaitan kanser di seluruh dunia berbanding tiga kanser utama yang digabungkan iaitu payudara, prostat dan kolorektal.

Dalam konteks ini, NSCLC ialah sejenis kanser yang paling umum dan merangkumi lebih daripada 85 peratus kanser paru-paru. 

Selain itu, kinase limfoma anaplastik positif (ALK+) adalah salah satu mutasi yang terjadi dalam kanser paru-paru sel bukan-kecil metastatik (NSCLC) dan dikenali dengan tingkah lakunya agresif. 
Setiap tahun, kira-kira 75,000 orang didiagnosis dengan ALK+ NSCLC di seluruh dunia.

“Tidak seperti kanser paru-paru lain, ALK+ NSCLC paling kerap didiagnosis pada mereka yang tidak kerap merokok atau langsung tidak merokok. Wanita juga lebih berkemungkinan didiagnosis dengan jenis penyakit ini berbanding lelaki dan pesakit juga cenderung lebih muda daripada kebanyakan pesakit NSCLC lain dengan umur kira-kira 52 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Alecensa (alectinib) yang merupakan rawatan oral monoterapi sebagai rawatan awal di Malaysia bagi penghidap ALK+ NSCLC, baru-baru ini.

Rawatan ini dicadangkan terhadap pesakit yang di peringkat lanjutan dan belum pernah dirawat atau sebelum ini dirawat dengan rawatan standard. Ia secara khususnya menghalang protein ALK abnormal yang menyebabkan pertumbuhan dan penyebaran ALK+ NSCLC ke bahagian lain dalam badan sekali gus mencegah kanser daripada bertambah teruk.

Dalam pada itu, data dalam Mesyuarat Tahunan Persatuan Klinik Onkologi Amerika (ASCO) 2018 menunjukkan Alecensa berjaya mengurangkan risiko kemelaratan penyakit atau kematian sebanyak 57 peratus selepas susulan dua tahun penggunaannya dalam kalangan penghidap ALK+ NSCLC. Alencsa juga  dimasukkan dalam Program Bantuan Pesakit Roche 
yang komited dalam membantu pesakit untuk mendapatkan ubat Roche yang diperskripsi oleh pengamal perubatan. 

Di bawah program ini, subsidi perubatan yang diberikan dapat membantu pesakit menanggung kos rawatan keseluruhan. Untuk maklumat lanjut mengenai Alecensa dan program ini, sila hubungi ahli onkologi atau pengamal perubatan anda.

Info

Penyebab Kanser Paru-Paru

Menghisap rokok (90 peratus), sama ada aktif atau pasif, adalah penyebab utama kanser paru-paru . Penyelidikan sejak tahun 1950-an menunjukkan dengan jelas kaitan rokok dan kanser paru-paru.

Asap rokok mengandungi lebih daripada 4,000 bahan kimia yang dikenalpasti penyebab kanser paru-paru.

Menghisap 20 batang rokok sehari berisiko sebanyak 20 hingga 25 kali ganda mendapat kanser paru-paru jika dibandingkan dengan mereka yang tidak merokok.

Apabila seseorang berhenti merokok, risiko mendapat kanser paru-paru beransur kurang. Lebih kurang setelah 15 tahun berhenti merokok, risiko mendapat kanser paru-paru berkurangan sama seperti seseorang yang tidak pernah merokok.

Menghisap curut serta paip juga meningkatkan risiko mengidap kanser paru-paru.

Punca lain kanser paru-paru ialah:

  • Pencemaran udara daripada asap kereta, asap kilang dan lain.
  • Pendedahan kepada asbestos memberi risiko mendapat kanser paru-paru sebanyak sembilan kali ganda. Gabungan antara asap rokok dan asbestos meningkatkan risiko setinggi 50 kali ganda. Mesothelioma (kanser yang asalnya daripada selaput paru-paru) adalah berkait rapat dengan pendedahan kepada asbestos.
  • Penyakit paru-paru seperti tuberkulosis dan chronic obstructive pulmonary disease  (COPD) juga meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat kanser paru-paru.
  • Pendedahan kepada radon/radium (bahan yang terjadi daripada uranium) juga adalah risiko kanser paru-paru.
  • Pekerjaan yang terdedah kepada arsenic, kromium, nikel, hidrokarbon aromatik dan eter juga boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru.
  • Sumber: Portal MyHealth