JAWAPAN

Gonorea ialah sejenis penyakit kelamin yang berjangkit melalui hubungan seks, disebabkan oleh jangkitan bakteria Neisseria Gonorrhoeae. Gonorea disebarkan melalui sentuhan pada zakar, faraj, mulut atau dubur mereka yang menghidapinya. Ejakulasi tidak perlu berlaku untuk memindahkan atau merebakkan bakteria kepada orang lain. Gonorea juga boleh dipindahkan daripada ibu kepada bayi semasa proses kelahiran. Mereka yang pernah menghidapi gonorea dan telah berjaya dirawat boleh dijangkiti semula jika melakukan hubungan seks dengan pasangan yang mengalami penyakit sama. Sesiapa sahaja yang aktif seksual dan kerap bertukar pasangan seks turut berisiko untuk dijangkiti penyakit tersebut. Kes jangkitan gonorea paling banyak dilaporkan berlaku kepada remaja dan golongan muda yang aktif melakukan hubungan seks.

Bagi wanita, simptom dijangkiti gonorea selalunya sedikit dan tidak ketara malah kebanyakan wanita yang mendapat jangkitan gonorea tidak menunjukkan apa-apa simptom atau tanda. Apapun antara simptomnya ialah jangkitan pada salur kencing yang menyebabkan kencing tidak lawas atau jangkitan kuman pada faraj. Ada juga yang mengalami sakit ketika kencing, keputihan yang banyak dan pendarahan antara kitaran haid.

Rawatan kepada gonorea hendaklah diberikan kepada ibu hamil yang dijangkiti sebaik sahaja penyakit tersebut berjaya dikesan. Hal ini untuk mengurangkan risiko komplikasi jangkitan kepada bayi. Justeru, wanita hamil digalakkan menjalani ujian untuk mengesan penyakit kelamin semasa berada pada awal fasa kehamilan.

Bagi lelaki, jangkitan gonorea boleh merebak ke epididimis (salur yang membawa keluar sperma dari zakar) dan boleh mengakibatkan rasa sakit pada zakar serta buah zakar sekali gus akan menyebabkan infertiliti jika dibiarkan tanpa rawatan.

Bukan setakat itu sahaja, kuman yang mengakibatkan gonorea juga boleh memasuki darah dan sendi tulang yang akhirnya akan membahayakan nyawa. Mereka yang dijangkiti gonorea mudah dijangkiti virus HIV jika terdedah kepada virusnya. Pembawa HIV yang menghidap gonorea juga dapat memindahkan virus HIV dengan mudah kepada pasangan. Sama seperti jangkitan penyakit kelamin yang lain, jangkitan gonorea boleh dielak dengan tidak melakukan hubungan seks atau kekal dengan hanya satu pasangan yang telah disahkan secara klinikal tidak dijangkiti penyakit berkenaan.

Penggunaan kondom getah dengan cara yang betul ketika setiap kali melakukan hubungan seks boleh mengurangkan risiko jangkitan gonorea. Mereka yang dijangkiti gonorea serta pasangan seksnya hendaklah menjalani pemeriksaan dan dilarang daripada melakukan hubungan sehingga tamat tempoh rawatan.