DR. M. SINGARAVELOO
DR. M. SINGARAVELOO 

Dalam masa sama doktor dan petugas kesihatan juga semakin sibuk mengendalikan pelbagai kes yang rata-ratanya berpunca daripada faktor cuaca tidak menentu. Cuaca yang tidak menentu boleh memberi risiko pada suhu badan selain mengundang penyakit lazim seperti demam, selesema, batuk dan hipotermia.

Memang tidak dinafikan ada yang sudah cuba menjaga kesihatan sebaik mungkin dengan mengelakkan keadaan cuaca di luar rumah, namun tetap diserang demam atau simptom kurang sihat yang lain. Selain golongan dewasa, kanak-kanak dan warga emas adalah antara golongan paling berisiko dijangkiti pelbagai penyakit disebabkan faktor cuaca tersebut. .

Menurut Pakar Sakit Dalaman, Hospital Pakar KPJ Johor, Datuk Dr. M. Singaraveloo, keadaan cuaca panas ketika ini disebabkan oleh fenomena ekuinoks yang berlaku pada 20 Mac lalu. Kedudukan matahari kini semakin hampir dengan garisan Khatulistiwa, sekali gus menyebabkan negara berhampiran lokasi itu mengalami peningkatan suhu. Suhu paling tinggi di negara ini ketika fenomena itu berlaku dijangka mencapai 37 darjah Celsius antara pukul 1 tengahari dan 4 petang.

“Cuaca panas adalah tekanan fizikal kepada badan manusia yang boleh beri kesan kesihatan daripada sederhana (mild) kepada teruk seperti strok haba yang akhirnya boleh menyebabkan maut. Cuaca panas juga boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan antaranya berlaku kecelaruan fikiran dalam melakukan sesuatu. Ini disebabkan minda tidak berupaya memberikan tumpuan kepada apa yang perlu dilakukan hingga menjejaskan kehidupan harian.

“Antara tanda-tanda dan gejala masalah kesihatan berkaitan panas adalah pelbagai. Bergantung kepada teruknya keadaan sesuatu masalah. Gejala biasa adalah keletihan dan kelesuan. Selain itu, seseorang itu akan berasa mudah untuk pitam dan pengsan atau erti kata lain heat syncope. Berlaku kekejangan akibat panas juga antara gejala dalam masalah kesihatan berkaitan panas. Seterusnya, kita akan berasa strok haba,” katanya.

Tambah beliau, semua orang adalah berisiko menghadapi masalah berkaitan dengan panas. Bagaimanapun, kumpulan tertentu adalah lebih berisiko untuk menghadapi kesan kesihatan. Kumpulan ini termasuk mereka yang terbabit dengan kegiatan aktiviti fizikal seperti buruh, peladang, ahli sukan dan tentera.

Selain itu, orang dewasa yang berumur 40 tahun ke atas 10 kali ganda lebih berisiko berbanding orang yang lebih muda, kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah, mereka yang menghidapi masalah pernafasan dan jantung, mereka yang menghidapi penyakit darah tinggi, kencing manis dan penyakit kelenjar tiroid.

Risiko bertambah jika mereka memakai pakaian tebal dan ketat kerana pakaian seperti itu menghalang panas keluar dan tiada proses penyejatan berlaku atau pengeringan peluh.

“Selalunya, cuaca panas yang melampau dikaitkan dengan strok haba iaitu paras suhu badan meningkat melebihi 40.5 darjah Celsius. Suhu badan individu yang normal ialah 37 darjah Celsius. Apabila kepanasan dirasai badan, kita akan alami proses yang normal tetapi jika berterusan ia akan menyebabkan kandungan air dalam badan berkurangan sekali gus berpotensi untuk berlaku dehidrasi, sawan, kekeliruan, kerosakan otak dan organ dalam badan, koma dan seterusnya boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Sebagai langkah pencegahan kesan gelombang haba, bayi dan kanak-kanak serta warga emas dinasihatkan supaya sentiasa memakai pakaian bersesuaian terutama malam.

Tidak ketinggalan, pengambilan air 2.5 liter sehari sangat penting tanpa mengira cuaca dan masa, namun dinasihatkan supaya mengambil air panas atau suam bagi mengekalkan suhu badan.

“Bagi mengekalkan kesihatan ketika keadaan cuaca tidak menentu, setiap individu dinasihati supaya melakukan senaman walaupun sekadar senaman ringan. Ia sangat penting bagi memastikan aliran darah berjalan lancar dan mengekalkan tahap kesihatan terbaik. Jangan sesekali ambil mudah sekiranya tubuh menunjukkan tanda tidak sihat. Langkah terbaik segera bertemu doktor terutama individu yang mula mengalami simptom bahaya lain seperti menggigil atau sesak nafas,” katanya.