Oleh itu, amat penting untuk mengetahui tanda-tanda amaran bunuh diri kerana 80 peratus daripada mereka yang dikesan meenghadapinya mengakhiri hidup dengan perbuatan itu.

Perkara itu ditegaskan oleh Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye yang memberitahu, tanda amaran tidak dibuat untuk menagih perhatian sebaliknya tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan daripada orang sekeliling.

“Apabila kita dapat mengenali tanda-tanda amaran ini, kita mungkin dapat campur tangan dan menawarkan bantuan. Orang yang ingin bunuh diri biasanya berasa sangat tidak percaya dan tidak berdaya.

“Kemerosotan dan ketidak upayaan menyebabkan mereka berasa terasing seolah-olah tiada siapa yang peduli. Kita boleh membantu mengubahnya dengan menawarkan penjagaan dan empati.

“Lengkapkan diri kita dengan kemahiran dalam mendengar dan menawarkan sokongan. Dengan hanya berada di sisi orang itu sudah menjadi permulaan yang baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja di Malaysia yang menunjukkan peningkatan seperti dilaporkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (KKMK).

Malah, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut merekodkan bunuh diri sebagai 10 penyebab kematian di dunia.

Dalam pada itu, Lam Thye menyeru mereka yang bermasalah menghubungi talian percuma Befrienders yang beroperasi selama 24 jam di negara ini.

Jelasnya, terdapat sembilan pusat panggilan itu yang menawarkan perkhidmatan kepada individu bermasalah sekiranya mereka berasa sukar untuk bercakap dengan orang terdekat.

“Jika anda rasa mengalami masalah kesihatan mental, ada bantuan yang disediakan contohnya anda boleh mengunjungi mana-mana Klinik Kesihatan, Pusat Mental dan Psikiatri (Mentari) atau persendirian.

“Mungkin berguna untuk dapat berbicara dengan seseorang sekiranya mengalami masalah emosi. Cari seseorang yang anda percaya dan seseorang yang anda rasa selesa,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE