Kini pengguna semakin bijak memilih menu makanan yang sihat. Namun, lambakan produk makanan dan kesihatan dalam pasaran yang kononnya menguar-uarkan amalan pemakanan sihat perlu diselidik terlebih dahulu.

Ini kerana tidak semua produk tersebut benar-benar sihat dan bebas kandungan yang boleh menjejaskan kesihatan.

Walaupun pengguna semakin bijak memahami kandungan sesuatu makanan bagi mengelakkan daripada menghidap penyakit berbahaya, namun kes keracunan akibat kandungan atau secara proses pengawetan sering merisaukan pengguna.

Justeru, pengguna disaran untuk memeriksa tarikh luput sesuatu produk makanan dan membaca maklumat pemakanan termasuk jumlah tenaga dan beberapa jenis nutrien seperti karbohidrat, protein dan lemak.

Langkah itu turut disaran oleh kerajaan melalui laman web myhealth.gov.my agar pengguna lebih prihatin terhadap tahap kesihatan.

Ini kerana kebanyakan penyakit berpunca daripada makanan yang diambil. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan tidak mengambil makanan secara berlebihan.

Masalah seperti kencing manis, darah tinggi, jantung, gout dan kanser berpunca daripada makanan dan cara memasak yang tidak sihat.

Justeru, menjadi tanggungjawab individu untuk mengelak daripada terus diancam penyakit berbahaya itu melalui corak pemakanan seharian.

Menurut Pegawai Dietetik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Razni Shauna Abduk Razak, sepatutnya pengambilan makanan dilakukan mengikut sukatan yang disyorkan oleh pakar pemakanan serta doktor.

Malaysia mempunyai jumlah pesakit kencing manis yang tertinggi. Justeru, amat wajar bagi rakyat negara ini mengubah pola makanan dan gaya hidup yang sihat.

Ini termasuk mengurangkan pengambilan gula dalam makanan seperti minuman manis dan berkarbonat, roti krim, kuih-muih, pencuci mulut, madu, buah-buahan tertentu dan sebagainya.

Pengambilan gula

Katanya, seorang wanita hanya digalakkan untuk mengambil gula sebanyak enam hingga sembilan sudu teh sementara lelaki antara sembilan hingga 11 sudu teh sehari.

“Satu sudu teh bersamaan dengan 5 gram. Jika memahami cara pengiraan ini pastinya kita dapat mengawal pengambilan gula dalam badan.

Seperti yang kita ketahui, gula adalah penyumbang utama kepada penyakit kencing manis dan kanser,” katanya ketika program Beautifully Fit anjuran BAKAT Divisyen Jitra, Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) Kuala Lumpur, di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Razni Shauna pengambilan gula secara berlebihan bukan sahaja menyebabkan berat badan bertambah secara mendadak, malah menyebabkan ketagihan.

“Walaupun pengambilan buah-buahan adalah baik, namun untuk kesihatan jangka panjang kita tidak digalakkan mengambil buah secara berlebihan terutama buah-buahan bermusim seperti durian, manggis atau rambutan kerana kandungan gula yang tinggi boleh memudaratkan pesakit kencing manis,” jelasnya.

Begitu juga dengan pengambilan garam secara berlebihan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi akibat pemakanan yang mempunyai kandungan sodium tinggi seperti makanan dalam tin dan diproses.

“Walaupun air minuman seperti laici yang diproses dalam tin tidak masin, namun makanan diawet tidak sesuai untuk mereka yang menghidap tekanan darah tinggi,” ujarnya.

Nasi tidak berdosa

Bagi mereka yang sedang atau mahu menukar gaya hidup yang sihat atau sedang berdiet disaran tetap mengambil nasi dalam menu harian, namun dalam kuantiti yang sedikit.

Nasi bukan sahaja baik untuk membekalkan tenaga, malah lebih mengenyangkan berbanding biskut atau roti.

Namun, rata-rata mereka yang menolak nasi melakukan kesalahan apabila mengambil biskut dan roti secara berlebihan dalam satu masa.

“Keupayaan kalori untuk satu keping roti biasa bersamaan dengan satu senduk nasi dan tiga keping biskut kosong.

“Lebih baik makan nasi dalam kuantiti yang sederhana daripada mengambil makanan pengganti dalam kuantiti yang banyak,” jelasnya.

Justeru, Razni Shauna mencadangkan agar pengambilan nasi diteruskan, namun perlu melihat kepada pilihan lauk yang diambil.

Jelasnya, cara memasak yang terbaik adalah mengukus atau panggang kerana kandungan kalori yang rendah disebabkan tiada penggunaan minyak atau bahan perasa berlebihan.

Sungguhpun begitu, kesan hangus akibat pembakaran terhadap sesuatu makanan boleh memudaratkan kesihatan kerana mengandungi bahan kompaun penyebab kanser semasa proses dipanggang.

Begitu juga dengan makanan diproses termasuk dalam senarai makanan segera yang harus dielak.

“Adalah lebih baik jika kita kembali kepada asas iaitu mengambil makanan segar dan memasak sendiri di rumah supaya dapat mengawal taburan garam dan gula dalam makanan dan minuman,” katanya.