Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah sebelum ini pernah berkata, peratus kelahiran tidak selamat menurun daripada 24.8 peratus pada 1990 kepada 1.7 peratus pada 2012 dan 0.42 peratus pada 2016.

Bagaimanapun sejak mutahir ini , terdapat pola yang membimbangkan. Contohnya di Johor apabila ada peningkatan kadar kelahiran tidak selamat berkaitan advokasi pro-natural birthing atau gentle birthing yang digerakkan oleh individu atau kumpulan dikenali sebagai ‘doula’

DR. SHARIFAH SHAHIRAH SYED HASHIM
DR. SHARIFAH SHAHIRAH SYED HASHIM 

(peneman kelahiran). Sepanjang 2017, di Johor ada 58 kes yang didaftar sebagai kelahiran tidak selamat dengan lima daripadanya adalah kelahiran di rumah yang berkaitan dengan ‘doula’. Lebih membimbangkan, dua daripada kes itu adalah kes berisiko tinggi yang memerlukan kelahiran di hospital, namun memilih untuk bersalin di rumah selepas dihasut oleh pihak tertentu.

Mengikut statistik Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan, ada dua kematian ibu pada 2013 serta dua kematian bayi pada 2016 dan 2018 akibat kelahiran tidak selamat berkaitan ‘doula’.

Menurut Pakar Obstetrik, Ginekologi dan Kesuburan Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. Sharifah Shahirah Syed Hashim, kaedah alternatif berkenaan hanya memfokuskan pada aspek keselesaan ibu semata-mata sehingga mengabaikan keselamatan ibu dan bayi.

“Perkara paling utama ketika kelahiran adalah memastikan ibu dan bayi selamat. Namun jika ada kaum ibu yang memilih keselesaan melampaui keselamatan sehingga melanggan bidan alternatif di rumah yang tidak terjamin kemahiran dan kelengkapannya, maka itu sesuatu yang patut dikesali. Proses bersalin tanpa pemantauan doktor boleh membahayakan nyawa ibu yang melahirkan. Jadi ibu hamil digalakkan bersalin di hospital kerana jika berlaku apa-apa komplikasi tindakan segera boleh dilakukan,” jelasnya,

Dr. Sharifah turut mengulas maksud doula yang berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud `hamba wanita’. Golongan ini telah pun wujud berabad lamanya dan dikatakan mampu memberikan pengalaman positif kepada para ibu yang hamil dan bakal bersalin.

Secara umum, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan daripada segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan). Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin atau telah bersalin.

Selamatkah bersalin 
di rumah?

Beliau memberitahu, ibu mengandung tidak sepatutnya mengambil risiko melahirkan bayi di rumah memandangkan amalan berkenaan tidak selamat dan menjejaskan keselamatan ibu dan bayi. Amalan kelahiran di rumah atau bersalin tanpa kemudahan perubatan adalah tidak disyorkan. Oleh itu ibu mengandung perlu membuat keputusan terbaik berkaitan lokasi melahirkan anak mereka. Semua kelahiran perlu dilakukan dalam suasana yang bersih dan dilengkapi dengan peralatan seperti hospital kerajaan atau swasta, klinik kesihatan berdaftar atau di mana-mana pusat bersalin yang diluluskan kerajaan.

Selain itu, kemudahan bersalin dan kemudahan dewan bersalin yang betul di hospital dan premis yang disyorkan direka untuk meminimumkan risiko semasa kelahiran dan diuruskan oleh mereka yang disahkan dari segi perubatan seperti doktor dan jururawat terlatih atau bidan.