LifeMed merupakan satu konsep sistem pemeriksaan kesihatan jarak jauh dan pemantauan (RHDMS) yang membolehkan pesakit mengurus penyakitnya dengan lebih baik sementara pihak perubatan dapat memantau keadaan pesakit mereka.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, inisiatif itu disasarkan untuk membawa nilai tambah kepada pihak penyedia-penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan bagi memantau pesakit mereka sepanjang masa.

"LifeMed berguna terutama kepada golongan yang kerap bergerak (frequent travellers). Mereka dapat mendapatkan bacaan kesihatan mereka di mana-mana. Doktor dan pesakit boleh mendapat akses rekod kesihatan pesakit atau bacaan penting global pada setiap masa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pertukaran Dokumen Kerjasama Strategik antara N2W Corporation Sdn. Bhd. dan Smartmed Global Limited (Smartmed) di sini hari ini.

LifeMed adalah penyelesaian yang mengintegrasikan tiga komponen utama iaitu peranti perubatan gred klinikal, aplikasi mudah alih dan portal untuk kegunaan doktor serta pesakit.

Peranti perubatan digunakan untuk mengambil bacaan kesihatan seperti tekanan darah serta kadar glukosa dalam darah dan seterusnya data itu akan dipindahkan ke aplikasi mudah alih menggunakan teknologi bluetooth terkini.

Data kesihatan itu kemudiannya akan dihantar ke portal LifeMed berasaskan awan dengan sambungan Internet sementara itu, portal akan diakses oleh doktor dan pasukan klinikal untuk memantau kesihatan pesakit dari jarak jauh. - UTUSAN ONLINE