Pengarah Pembangunan Wanita Negeri Perak, S. Kavaramma berkata, terdapat segelintir masyarakat percaya bahawa kanser adalah penyakit yang tidak boleh pulih atau dirawat.

Katanya, tanggapan itu tidak benar kerana statistik menunjukkan kira-kira satu pertiga penyakit kanser boleh dirawat melalui pembedahan, kemoterapi dan radioterapi sekiranya dikesan pada peringkat awal.

“Masyarakat menyambut Hari Kanser Sedunia pada 4 Februari setiap tahun sebagai satu kempen bagi mencegah penyakit kanser.

“Tahun ini, temanya adalah ‘Saya Sedar dan Saya Akan Lakukan Perubahan’. Tema ini mengajak masyarakat mengambil pendekatan positif, optimis dan proaktif dalam memperkasakan langkah atau tindakan dalam usaha melawan dan mencegah kanser,” katanya ketika berucap pada majlis Sokong Wira Kanser Sempena Sambutan Hari Ibu dan Bapa di Dewan KIA, Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Pengerusi Gabungan NGO Prihatin Negeri Perak, Datin Normah Hanum Ibrahim merasmikan majlis berkenaan yang turut dihadiri kira-kira 700 tetamu jemputan.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada pesakit kanser yang sedang dalam rawatan iaitu lima kanak-kanak, lima wanita dewasa dan lima lelaki dewasa.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan kumpulan Pink Spice yang dianggotai pesakit kanser dari Kuala Lumpur.

Perkongsian, pengalaman dan perjalanan hidup seorang pesakit kanser, Tun Norulhuda Noor turut diadakan.

Kavaramma menyeru rakyat negara ini mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan risiko kanser terhadap diri sendiri dan masyarakat, di samping sentiasa membantu pesakit melaksanakan aktiviti sihat seperti menjauhkan diri daripada penggunaan tembakau dan alkohol, bersenam secukupnya, pemakanan seimbang serta melindungi diri daripada terdedah kepada cahaya matahari secara berterusan tanpa perlindungan.

Menurutnya, rakyat negara ini juga perlu mengetahui tanda-tanda penyakit kanser dan melakukan ujian saringan bagi mengenal pasti penyakit itu pada peringkat awal seperti yang kerap disarankan.

Katanya, usaha berkongsi cerita dan pengalaman dalam kalangan pesakit kanser juga perlu dilaksanakan agar dapat meningkatkan motivasi pesakit ketika menghidap serta melawan penyakit kanser.

“Mereka juga digalakkan menyertai kumpulan-kumpulan sokongan bagi mendapatkan bantuan dan galakan selain memberikan sumbangan kepada pihak yang memerlukan.

“Mereka juga diminta berkomunikasi dengan pihak berkuasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan penyebaran maklumat serta langkah-langkah yang boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko menghidap penyakit kanser,” tegasnya.

Kavaramma juga berkata, anggota masyarakat hendaklah membantu pesakit kanser meneruskan aktiviti harian sebelum dan selepas diagnosis mengikut kemampuan mereka bagi mengekalkan normaliti, kestabilan emosi dan jasmani serta kedudukan kewangan.

Menurutnya, pesakit kanser memerlukan sokongan dalam menghadapi situasi ini.

Oleh itu katanya, sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan sangat diperlukan kerana ketika ini pesakit perlu lebih diberi perhatian sama ada secara fizikal mahupun emosi.

“Ahli keluarga dan rakan-rakan perlu meluangkan lebih banyak masa bersama pesakit supaya mereka tidak berasa terpinggir,” katanya.

Sementara itu Normah Hanum berkata, masyarakat pelbagai kaum di negara ini hendaklah meningkatkan pengetahuan masing-masing tentang tanda-tanda penyakit kanser yang semakin tinggi dalam kalangan penduduk.

Menurutnya, langkah-langkah pencegahan perlu diberi perhatian serius supaya jumlah dan kadar penghidap penyakit itu dapat dikurangkan.

“Ahli masyarakat juga harus mendampingi pesakit kanser supaya mereka mampu hidup seperti orang lain di samping dapat mewujudkan kasih-sayang sesama mereka,” katanya.