Hati semakin teruja apabila ketibaan di lobi pusat peranginan itu disambut dengan paluan ‘ketuk’ iaitu sejenis alat muzik tradisional sebagai ucapan selamat datang dan hidangan teh O ais campuran serai, halia, pandan serta herba lain untuk menghilangkan dahaga.

Pandangan penulis kemudiannya beralih kepada hiasan yang terdiri daripada semangkuk padi, beras kuning dan kunyit. Hirisan daun pandan pula menambah aroma wangian asli seolah-olah berada di zaman kegemilangan Melayu pada abad ke-17.

Pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki ke Terrapuri Heritage Village yang terletak di Kampung Mangkuk, Setiu kira-kira 21 kilometer dari Bandar Permaisuri pasti beranggapan ia dibangunkan oleh usahawan Melayu atau agensi kerajaan.

Terrapuri  atau dalam bahasa Sanskrit bermaksud Tanah Istana itu sebenarnya  milik penuh usahawan berketurunan Cina Peranakan Terengganu, Alex Lee Yun Ping, 50. Terletak di kawasan seluas kira-kira empat  hektar, ia mengandungi 29 buah rumah kayu dengan seni bina serta ukiran tradisional Melayu yang begitu unik sekali. 

Ada yang dijadikan vila eksklusif, vila istirahat, spa, restoran berkonsepkan tradisional Melayu, rumah pantai dan galeri.

CINTAKAN SENI MELAYU

Kecintaan Alex terhadap warisan budaya Melayu ternyata sangat tinggi sehingga beliau sanggup ‘mengabdikan’ lebih 30 tahun daripada usianya untuk berjuang memartabatkan warisan itu. Antara usaha beliau melibatkan pemuliharaan rumah peninggalan lama istana, golongan bangsawan dan kerabat diraja Terengganu.

“Terrapuri lahir daripada pengorbanan saya sejak berusia 20 tahun. Sejak remaja saya menanam impian untuk memiliki koleksi pelbagai jenis rumah Melayu terutama yang berkaitan dengan istana dan orang kenamaan yang hidup  ratusan tahun lampau.

“Prosesnya tidak mudah. Saya mula menjelajah ke seluruh Terengganu untuk membeli rumah yang terbiar usang kerana dianggap tidak lagi berharga oleh waris mereka kerana pada  1990-an seni bina kediaman orang Melayu sudah mula dipengaruhi seni bina Inggeris,” jelas Alex.

Menurut beliau, kebanyakan rumah yang dibeli sudah rosak dan reput lebih 50 peratus. “Saya upah tukang kayu Melayu untuk leraikan kepingan-kepingan kayu ini dan simpan di sebuah rumah di Marang. Kalau tengok koleksi kayu ketika itu, sesiapa pun tak akan tahu ia adalah struktur rumah di dalam istana zaman silam sehinggalah saya berjaya membeli tanah kosong seluas kira-kira 4.05 hektar di Kampung Mangkuk pada 2005 dan mula membangunkan Terrapuri,” katanya.

MENUNTUT PENGORBANAN

Proses membangunkan semula rumah usang itu tidak mudah. Alex menggunakan khidmat lebih 50 tukang kayu Melayu yang berkemahiran tinggi untuk menggantikan semula struktur dan binaan yang rosak.

Usaha itu juga memerlukan pelan terperinci mengenai kaedah pemasangan semula rumah lama memandangkan ia tidak menggunakan sebatang pun paku, sebaliknya dibina  dengan konsep tanggam dan pasak.

Kecintaan Alex terhadap warisan seni bina rumah Melayu sangat terserlah apabila beliau mampu mengingati sejarah semua 29 unit rumah yang dibelinya untuk membangunkan Terrapuri.

Istilah seperti Baris Laksamana (pagar rumah), makara (tangga naga),  kerawang, tasawuf, rumah tiang enam, rumah tiang 12, Tajul Muluk dan surah Ashabul Kahfi tidak lekang dari bibirnya setiap kali menceritakan perihal Terrapuri.

Bapa kepada dua anak itu berkata, Terrapuri adalah lambang kekayaan, kehalusan dan ketinggian seni bina orang Melayu di Terengganu yang harus dipulihara untuk tatapan generasi akan datang.

“Sebagai Cina Peranakan Terengganu, saya berasa bertanggungjawab untuk menyumbang sesuatu ke arah usaha murni ini. Semua harta yang saya ada, saya sanggup  jual untuk membangunkan Terrapuri termasuk sebuah kereta Mercedes dan beberapa lot tanah sehingga dikatakan gila oleh keluarga dan kenalan rapat.

“Saya tidak pedulikan semua tuduhan itu dan tidak berkecil hati dengan mereka kerana fokus saya adalah untuk memulihara rumah peninggalan warisan istana ini. Kalau nak imbas kepayahan dalam membangunkan Terrapuri, memang sudah tak sanggup untuk dikenang kembali.

“Saya tidak mendapat pinjaman bank atau geran khas dari mana-mana agensi pun kerana ia adalah projek pemuliharaan, bukan bermotifkan keuntungan,” katanya yang membelanjakan lebih RM10 juta untuk membangunkan Terrapuri.

LAIN DARIPADA YANG LAIN

Keindahan Terrapuri yang terletak berhampiran Pantai Penarik turut menjadi pilihan kru penerbitan untuk filem Merong Mahawangsa, Amazing Race, UK Master Chef, iklan Tourism Malaysia dan menjadi lokasi perkahwinan mewah untuk pengantin yang sangat mengutamakan keistimewaan dalam meraikan hari bersejarah mereka.

Alex yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu berkata, beliau mengagumi seni bina tradisional Melayu kerana setiap struktur atau binaan itu mempunyai falsafah dan prinsip tersendiri yang tidak hanya disebabkan faktor pencahayaan, pengudaraan dan keindahannya semata-mata. 

“Tidak hairanlah semasa dalam proses pembinaan pun, Terrapuri menerima lebih 5,000 pelawat kebanyakannya  penyelidik, pensyarah, pelajar dan peminat seni warisan lama yang mahu mengenali Terrapuri dengan lebih dekat.

“Saya bangga kerana sehingga kini semakin banyak pihak berminat untuk membuat dokumentasi mengenai khazanah seni bina tradisional Melayu setelah berkunjung ke Terrapuri,” tambahnya.

Alex berkata, setiap tahun Terrapuri menerima kunjungan lebih 10 universiti dari seluruh dunia yang mahu membuat kajian mengenai warisan yang tiada tolok bandingnya itu.

Beliau berharap agar mereka yang terlibat dalam industri pelancongan di Terengganu terus mengangkat martabat keindahan seni budaya negeri itu ke persada dunia.

Ditanya apakah antara faktor utama generasi muda terutama orang Melayu tidak lagi berminat mempertahankan keindahan seni bina nenek moyang mereka, Alex berkata, ia kerana generasi muda tidak lagi memahami falsafah dan prinsip di sebalik setiap struktur binaan itu.

“Generasi sekarang mahukan sesuatu yang mudah dan moden. Perabot dalam rumah mahukan yang diimport dari luar negara contohnya dari Itali dan Sweden. Kenapa tidak mereka lakukan inovasi dan kreativiti terhadap warisan nenek moyang sendiri.

“Sebenarnya masyarakat luar lebih menghargai warisan bangsa sendiri. Pengalaman saya, pengunjung luar terutama dari Eropah lebih menghargai Terrapuri. Namun masih belum terlambat untuk kita kembali memelihara tradisi warisan ini agar ia tidak pupus ditelan zaman,” katanya. 

Kini, tumpuan Alex adalah untuk membangunkan satu lagi projek pemuliharaan rumah tradisi Melayu dari seluruh Malaysia yang dinamakan sebagai Terramalai di Batu Rakit dekat Kuala Nerus.

“Saya masih dalam proses mencari rumah tradisional lama di setiap negeri yang mempunyai nilai sejarah berharga untuk dikumpulkan sebagai satu lagi projek pemuliharaan untuk warisan kebanggaan negara, warisan kebanggaan kita semua,” katanya. - BERNAMA