Kejayaan itu juga adalah hasil kerja kerasnya selama tiga tahun memperbaiki kelemahan diri termasuk cara berkomunikasi dan pengetahuan semasa.

Shwetajeet atau lebih dikenali sebagai Shweta Sekhon, 22, sebelum ini pernah dinobatkan sebagai Miss World Malaysia 2016, tetapi tidak berkesempatan mewakili negara atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Saya seperti tidak dapat menggenggam sepenuhnya gelaran itu. Jadi, saya menyimpan impian baharu untuk kembali ke pentas pertandingan ratu cantik sehingga mampu mengharumkan nama Malaysia ke mata dunia.

“Saya melakukannya secara perlahan-lahan, teliti semua kelemahan dan berusaha membina keyakinan diri sebelum ke uji bakat Miss Universe Malaysia 2019.

“Ketika malam gala, saya sudah membuat yang terbaik dan biar Tuhan tentukan sama ada mahkota itu milik saya atau tidak kerana setiap peserta mempunyai kelebihan tersendiri,” katanya kepada Mega Rona.

Shweta meraih gelaran Miss Universe Malaysia 2019 selepas menewaskan 17 peserta lain dalam majlis makan malam Gala Night yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Shweta turut menerima gelaran Miss Glojas Beautiful pada malam tersebut.

Beliau menerima tiara Habib Jewels bernilai RM2.38 juta dengan wang tunai dan hadiah tajaan berjumlah RM180,000 serta tajaan pendidikan daripada Universiti HELP.

Sementara itu, Frost Yaw Hui Jing, 25 (first runner-up), Tessminderjeet Kaur, 23 (second runner-up) dan Lee Su Hsien @ Su Lee, 25 (third runner-up).

Menurut Shweta, kemenangan yang diraih itu bukan bermakna usaha perlu terhenti setakat itu sahaja, sebaliknya beliau masih perlu memperbaiki cara berjalan di pentas setelah melihat ratu-ratu cantik di seluruh dunia mempunyai gaya tersendiri yang nyata lebih sempurna dan menarik.

“Saya perlu berusaha dua kali ganda, tidak kira dari segi fizikal mahupun mental termasuk menimba lebih banyak ilmu tentang isu dan apa sahaja perkara yang berlaku di dunia.

“Untuk itu, saya lupakan seketika hasrat untuk menyambung pengajian, selain menolak tugasan modelling. Fokus saya kini adalah untuk memastikan benar-benar bersedia mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss Universe peringkat dunia pada tahun ini,” ujarnya.

Keputusan menangguhkan pengajian adalah kerana Shweta menyedari dirinya tidak mampu menyeimbangkan antara pelajaran dan impian untuk bergelar ratu cantik dunia.

“Peluang datang sekali dalam seumur hidup dan saya perlu merebutnya. Apa yang saya nak buat pada masa hadapan, itu akan ditentukan selepas pulang dari pertandingan Miss Universe 2019,” ujarnya.

Jika rezeki memihak kepada Shweta, beliau merancang menjadikan peragaan sebagai kerjaya dan menjadi role model yang berilmu, berkeyakinan dan positif bukan sahaja kepada golongan wanita tetapi juga generasi muda.

“Platform ini akan saya gunakan untuk menyuarakan pandangan demi membawa perubahan kepada masyarakat.

“Bergelar Miss Universe Malaysia 2016 juga membuka ruang yang luas untuk saya bergerak lebih aktif dalam kerja-kerja amal terutama bagi golongan yang memerlukan,” katanya.

Justeru, Shweta akan menggunakan platform Miss Universe untuk mendekati wanita khususnya golongan muda dalam membantu mereka membina keyakinan diri dan memberi inspirasi kepada mereka untuk mengatasi apa juga ketakutan, halangan dan cabaran dalam mencapai impian.

Tambah Shweta, kecantikan bukan satu-satunya ukuran untuk berjaya, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan personaliti dan cara pemikiran. Apabila semua itu bersatu, wanita mampu membina keyakinan diri yang utuh dan ketika itu tiada siapa mampu menghalang anda untuk menggapai kejayaan.

“Generasi muda tidak perlu berhenti memasang impian. Pastikan anda berusaha untuk menjadikannya realiti.

“Bina keyakinan diri kerana dengannya anda akan lebih berani menghadapi apa juga cabaran yang datang,” katanya.

Prihatin golongan OKU

PEMENANG second runner-up Miss Universe Malaysia 2019, Tessminderjeet Kaur, 23, pula berkata, keprihatinan masyarakat terhadap mereka yang memerlukan bukan sahaja terbatas kepada golongan susah, malah orang kurang upaya (OKU).

Baginya, OKU di Malaysia belum cukup terbela kerana masih tidak mempunyai kualiti hidup yang baik. Ini bukan sahaja dari segi persekitaran yang kurang mesra OKU, malah kurangnya kesedaran masyarakat terhadap keperluan mereka.

“Ramai beranggapan memberi sumbangan sudah cukup. Tiada langsung kesedaran untuk membina bangunan mesra OKU. Jika adapun tidak memenuhi kriteria seperti laluan terlalu pendek atau terlalu curam.

“Malah, ada juga yang langsung tidak membantu. Mereka sekadar melihat kepayahan OKU menaiki bas atau melintas jalan tanpa ada sekelumit perasaan untuk membantu.

“Jadi, platform ini akan saya gunakan untuk menyedarkan masyarakat mahupun institusi tentang keperluan golongan OKU,” kata pelajar tahun akhir Kejuruteraan Bioperubatan (Prostetik dan Ortotik) di Universiti Malaya itu.

Ingin buka perniagaan

Sementara itu, Lee Su [email protected] Su Lee, 25, pula merancang menimba pengalaman bekerja dan mengumpul modal bagi memulakan perniagaan apabila menginjak usia 30 tahun.

Pemenang tempat keempat itu ingin membuka perniagaan yang boleh memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Bidang yang diceburi iaitu eksekutif acara dan model sambilan membolehkannya bertemu ramai orang.

Secara tidak langsung dapat membantunya menguruskan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk golongan yang memerlukan kelak.

“Setiap bulan saya menabung untuk mengumpul modal bagi merealisasikan impian membantu masyarakat,” kata graduan jurusan kewangan dari University of Western Australia itu.

Ceburi dunia lakonan

BERBUAL dengan jelitawan negara yang merupakan Top 4 dalam pertandingan Miss Universe Malaysia 2019 memang mengujakan. Kesemuanya mempunyai impian untuk membantu mereka yang memerlukan selain menyuntik kesedaran kepada masyarakat agar keprihatinan tidak terpadam demi memastikan golongan tersebut tidak terus terbiar di negara sendiri.

Bagi Frost Yaw Hui Jing, 25, yang meraih first runner-up Miss Universe Malaysia 2019, kehadirannya dalam dunia penuh glamor itu pasti tidak kekal lama. Namun pengalaman yang diperoleh memberinya semangat dan inspirasi untuk menceburi bidang keusahawanan sekali gus membina sebuah komuniti untuk wanita khususnya bidang dalam perniagaan.

Graduan Ijazah Perniagaan dalam Kewangan dan Ekonomi Universiti Monash (Malaysia) itu memberi tempoh sehingga usianya 40 tahun untuk terlibat dalam bidang peragaan dan lakonan.

“Saya sanggup berhenti kerja untuk aktif sepenuh masa dalam bidang modelling.

“Malah saya juga kini berjinak-jinak dalam dunia lakonan yang lebih mencabar dan sedang berusaha memperbaiki mutu lakonan.

“Apabila tiba masanya, saya akan berhenti dan memulakan perniagaan sendiri. Tidak mustahil saya mampu membina empayar sendiri dan membantu wanita lain untuk mencapai impian mereka melalui perniagaan,” katanya yang turut mencari peluang di luar negara khususnya dalam bidang lakonan.