Mula menceburkan diri dalam seni tarian sejak berusia enam tahun, Kaphely yang kini menetap di Malaysia dan mendirikan rumah tangga dengan wanita tempatan telah meraih pelbagai kejayaan sejak dari kecil sehingga sekarang termasuk mendapat pengiktirafan antarabangsa baru-baru ini.

Atas pelbagai kejayaan yang pernah diraihnya ini turut menjadi pencetus semangat kepada Kaphely untuk mencurahkan ilmu seninya kepada anak-anak muda dengan harapan mereka mampu meraih kejayaan lebih besar selain dapat membina keyakinan diri ketika berhadapan dengan dunia luar.

Menerusi pusat tarian yang dikendalikan bersama isterinya, Winney di Bandar Sri Damansara, Damansara, Kuala Lumpur, Kaphely bertanggungjawab mengajar pelbagai jenis tarian daripada street fusion, latin, hip hop, K-pop sehinggalah pementasan drama serta bermain alat muzik seperti gitar dan piano kepada pelajarnya.

“Sejak saya tiba ke negara ini sekitar tahun 2012 saya lihat ramai pelajar sekolah yang malu untuk tampil ke hadapan dan berbahasa Inggeris. Dari segi penulisan mereka mampu melakukannya dengan baik tetapi apabila bercakap atau membuat persembahan menggunakan bahasa Inggeris mereka mula hilang keyakinan diri.

“Melihat situasi ini saya bersama isteri mula memikirkan untuk membuka sebuah pusat mengajar supaya anak-anak muda ini dapat belajar menari, bermain alat muzik dan belajar asas drama untuk membina keyakinan diri dan tidak malu lagi berhadapan dengan orang ramai. Harga yang ditetapkan untuk kelas tarian di sini sangat berpatutan dan pasti ada yang terkejut kerana harganya yang sangat murah dan berbeza berbanding di tempat lain kerana niat saya hanya satu iaitu untuk mengajar dan menggembirakan mereka dengan seni dan tarian,” katanya.

Berkongsi dengan lebih lanjut, kejayaannya mendidik ramai pelajar dalam seni persembahan telah membuka mata banyak pihak termasuk sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Kepong yang berminat mendapatkan khidmatnya untuk mengajar subjek tambahan seni, drama, tarian dan bahasa Inggeris kepada murid di sekolah berkenaan supaya mereka dapat membina keyakinan diri.

Bercerita mengenai anugerah tertinggi yang pernah diraihnya sepanjang terlibat dalam dunia seni, bapa kepada anak perempuan tunggal berusia lapan bulan ini berkata, dia tidak menyangka apabila bakatnya diiktiraf oleh International Magicians Society (IMS) berpangkalan di Amerika Syarikat dan dianugerahkan Anugerah Merlin bagi kategori tenaga pengajar tarian street fusion dan bahasa Inggeris terbaik 2019 pada April lalu di ibu negara.

“Istimewanya anugerah ini, ia merupakan satu anugerah berprestij untuk ahli silap mata yang setaraf dengan anugerah Oscar untuk industri filem namun begitu, sejak lima tahun lalu IMS telah membuka kategori baharu iaitu untuk bukan ahli silap mata. Hanya lima penerima dari seluruh dunia sahaja yang pernah dipilih untuk kategori ini.

“Antara nama besar dalam dunia silap mata yang pernah memenangi anugerah tersebut ialah David Copperfield, Criss Angel dan Rocco Silano. Saya pula berasa amat bertuah apabila dipilih bagi kategori bukan ahli silap mata bersama beberapa orang sebelum ini.

“Dengan pengiktirafan ini saya berharap dapat menyumbang lebih banyak ilmu kepada anak muda di Malaysia pada masa hadapan supaya mereka bukan sahaja berbakat dalam dunia seni malah dapat menunaikan impian saya yang lebih besar iaitu untuk menerapkan perasaan kasih, cinta dan sayang antara satu sama lain menerusi seni,” katanya.