Tidak hairanlah jika ada yang sanggup menghabiskan wang ringgit demi mengikuti trend dan perubahan fesyen semasa dalam penampilan mereka.

FATIN NORAISHAH SHAFIKA amat menitikberatkan soal penampilan.
FATIN NORAISHAH SHAFIKA amat menitikberatkan soal penampilan.

Namun, bagi selebriti laman sosial yang bijak bergaya, Fatin Noraishah Shafika Che Mat Aripin, 26, dia lebih menggemari fesyen yang sederhana dan minimalis untuk kelihatan bergaya serta elegan setiap hari.

Dia yang merupakan model sepenuh masa berkata, bergaya bukan semata-mata terletak kepada pakaian dan aksesori yang dikenakan tetapi juga keyakinan diri.

“Bagi saya fesyen membolehkan seseorang itu mengekspresi personaliti mereka dan cara terbaik untuk berfesyen adalah memakai apa yang disukai, berkeyakinan dan menjadi diri sendiri.

“Saya sendiri menggemari gaya sederhana dan kembali kepada basic. Tidak berlebihan dan lebih menarik apabila fesyen sebegini boleh disuai padan dengan pelbagai gaya,” katanya yang menjadikan selebriti terkemuka, Scha Alyahya sebagai ikon fesyen.

Tidak mahu mensia-siakan minatnya dalam bidang itu, dia juga menyimpan cita-cita untuk mempunyai empayar fesyennya sendiri dalam masa empat tahun lagi.

Selain itu, dia juga mahu menjadi ikon kepada Muslimah yang ingin berfesyen dan bergaya.

“Cita-cita saya ialah untuk memiliki jenama fesyen sendiri. Ada buat kajian sedikit dalam fesyen untuk memastikan saya sentiasa mengikuti arus fesyen semasa, tetapi kebanyakan masa saya gemarkan gaya suai padan.

“Tip kepada mereka yang gemar berfesyen ialah jangan takut untuk bermain dengan warna dan berseronok dengan apa yang anda miliki,” jelasnya.

Di samping menjaga penampilan diri, anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga mementingkan soal kecantikan dan kesihatan.

Menurutnya, dia mengamalkan pengambilan air masak secukupnya setiap hari untuk kekal hidrat dan segar sepanjang hari.

“Minum air secukupnya. Banyakkan makan telur, ikan, sayur dan buah kerana ia baik untuk stabilkan hormon terutama bagi wanita.

“Jangan lupa pakai losen pelindung sinar matahari kalau tidak mahu kulit tua sebelum waktunya dan pastikan selalu cuci muka selepas mengenakan solekan. Hendak cantik tidak boleh malas,” katanya.