SHUIB MUHD. HABIL

Shuib berkata, dia mempelajari cara menunggang kuda kira-kira dua tahun lalu sebelum memberanikan diri membeli seekor kuda padi yang berharga kira-kira RM2,000 tidak lama kemudian.

“Alhamdulillah, ramai kawan yang membantu dan mengga­lakkan saya untuk menyertai cabaran kuda lasak ini,” katanya yang pertama kali mengambil bahagian dalam kejohanan se­perti itu tahun lepas di Pendang, Kedah.

Jelas Shuib yang juga penyelia Guru-guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Daerah Seberang Perai Tengah, beliau meminati sukan berkuda itu atas dasar sunah.

“Menunggang kuda juga dapat memelihara kesihatan kita manakala dari segi rohani pula, jiwa kita akan menjadi lebih kental dan berani,” katanya yang berjaya menamatkan cabaran kuda lasak sejauh 30 kilometer dengan jayanya di Mengkuang Semarak, di sini, baru-baru ini.

Kamarul Ariffin Ithnan
KAMARUL ARIFFIN

Dalam pada itu, Presiden Kelab Ukhuwwah Berkuda Seberang Perai (Kubersp), Kamarul Ariffin Ithnan memberitahu, pihaknya berpuas hati dengan sambutan yang diterima walaupun program tersebut dirancang hanya dalam tempoh seminggu.

“Semuanya berjalan lancar dan niat kita untuk merapatkan ukhuwah menerusi program seperti ini tercapai.

“Saya juga gembira kerana sukan berkuda ini dapat menyatukan semua pihak tanpa mengira fahaman politik atau agama,” katanya yang juga mudir Tahfiz Darul ‘Ulum Al-Islamiyah Al-Banuriyyah, di sini.