Namun, sekiranya susun atur dekorasi menggunakan warna merah jambu ini dipadankan dengan betul, ia mampu menaikkan seri ruang dapur mengikut cita rasa pemiliknya.

Tiada yang sukar dilakukan sekiranya mempunyai minat yang mendalam terhadap warna merah jambu ini. Transformasi warna lembut itu mampu dilakukan dengan gabungan tona warna lembut yang lain.

Itu diakui Khairun Nissa Ishak, 42, mengenai tindakan beraninya menghias ruang dapur dan ruang makan menggunakan warna feminin iaitu merah jambu dan putih.

Menurutnya, idea untuk menghias ruang dapur menggunakan warna merah jambu dan putih diperolehi daripada Pinterest yang menyajikan pelbagai sumber rujukan yang berkaitan.

“Pada mulanya saya hanya mencari idea menerusi Pinterest, namun disebabkan minat terhadap warna rose gold dan pink, saya meneruskan dekorasi ruang makan saya mengikut rujukan tersebut.

“Saya tidak menyangka hiasan menggunakan warna merah jambu dan putih di ruang dapur kelihatan moden dan minimalis serta sangat santai untuk beristirahat bersama seisi keluarga,” katanya kepada Mega Rona.

Tambahnya, perabot yang digunakan untuk menghias ruang dapur itu kebanyakannya diperoleh dari pusat beli-belah peralatan rumah, IKEA dan ada juga didapati menerusi pembelian dalam talian dengan harga yang sangat berpatutan.

“Anggaran kos bagi kesemua hiasan dan dekorasi yang dilakukan adalah RM900 dan mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan sepenuhnya.

“Puas hati dapat melihat hasil kerja sendiri dengan warna kegemaran saya. Malah, rakan-rakan dan saudara mara turut memuji dekorasi yang saya tampilkan ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairun Nissa memberitahu, dekorasi di ruang dapur menggunakan warna dinding dan lantai yang cerah untuk memberikan ilusi ruang yang lebih luas.

“Ini kerana rumah saya hanya mempunyai keluasan 14 kaki x 16 kaki, dan ‘permainan’ warna sangat penting untuk menampakkan ruang yang lebih luas. Oleh itu, saya memilih warna putih yang dianggap paling selamat untuk memberikan ilusi ruang yang besar.

“Setiap hiasan seperti kerusi, meja makan, kabinet dapur, lampu dan kipas angin semuanya berwarna merah jambu dan putih termasuk bunga hiasan yang diletakkan di dalam pasu di satu sudut ruang makan,”ujarnya.

Tambahnya, suaminya sentiasa memberikan sokongan kepadanya untuk menghias dapur rumah mereka menggunakan warna merah jambu dan putih.

“Dia menyerahkan semua tugasan menghias rumah kepada saya dan tidak pernah membantah penggunaan warna merah jambu dan putih untuk hiasan dapur,” katanya.