Semasa menonton filem yang memaparkan watak Iron Man (Anthony Edward ‘Tony’ Stark) yang merupakan seorang adiwira buku komik cereka dalam alam Marvel Comics rekaan pencipta-penyunting Stan Lee, pengarang Larry Lieber dan pelukis-pelukis Don Heck dan Jack Kirby, Mohd. Faizal terus jatuh hati pada watak tersebut.

Anak muda berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu ketika ditemui S2 berkata, filem yang ditonton kira-kira 11 tahun lalu itu telah mengubah kehidupannya apabila dia mula mengumpul produk atau barangan berkaitan watak adiwira itu.

Tanpa berkira soal wang ringgit, Mohd.Faizal yang kini bekerja di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah) Temerloh, Pahang sanggup mengubah wajah kereta kesayangannya dengan menampal pelekat dan lukisan berus angin (air brush) pada keseluruhan badan kenderaan itu.

“Pada awal penglibatan saya dalam perkara ini, saya hias kereta dahulu. Saya hantar kereta ke bengkel untuk ditampal pelekat dan buat air brush pada keseluruhan badan kereta dengan memaparkan karakter Iron Man. Sekali buat saya keluarkan belanja antara RM2,000 hingga RM4,000.

“Bila sudah jemu dengan design itu, saya akan tukar kepada design baharu dengan anggaran kos yang hampir sama. Biasanya saya tukar satu-satu design dalam tempoh dua atau tiga tahun sekali. Walaupun design itu ditukar, namun karakter tetap sama iaitu Iron Man,” katanya ketika ditemui di Temerloh, Pahang baru-baru ini.

S2 sempat meninjau ruang dalam rumah yang diduduki bersama seorang rakan sekerja. Sebuah bilik ditukar menjadi muzium mini apabila keseluruhan koleksi barangan Iron Man disusun manakala jaket dan baju-T bercorak Iron Man digantung kemas di sebuah rak. Topi, stoking, rantai kunci, jaket, topi keledar, cawan dan lain-lain dihimpunkan dalam bilik tersebut. Kesemua koleksi itu dibeli secara atas talian dari Amerika Syarikat, China dan Hong Kong.

Dalam bilik tidurnya pula terbentang kemas cadar dan sarung bantal bercorak IIron Man manakala jam loceng dengan reka bentuk Iron Man diletakkan di atas meja sisi. Tidak cukup dengan itu, langsir bercorak Iron Man turut menghiasi kamar tidur anak bujang berusia 35 tahun itu.

“Dahulu..., saya selalu masuk pertandingan auto show di seluruh negara. Kebanyakan penyertaan saya berakhir dengan dapat nombor satu (juara) dan tempat kedua. Hadiah bukanlah keutamaan, sebaliknya saya berasa gembira dapat bertemu dengan rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama, selain dapat ‘makan angin’ di seluruh negara.

“Biasanya hadiah wang tunai yang saya peroleh adalah antara RM200 hingga RM1,000. Jumlah piala yang dimenangi pula kini mencecah 200,” katanya yang kini lebih menumpukan pada minat mengumpul koleksi barangan Iron Man termasuk sut Iron Man yang mencecah harga beribu ringgit sepasang.

Menurutnya, dia kini mempunyai tiga sut Iron Man yang ditempah khas dari dalam dan luar negara seperti dari Filipina dan Indonesia.

“Untuk membuat tempahan khas ini saya akan memberi ukuran badan saya. Terdapat 40 ukuran yang tepat perlu diserahkan kepada pembuat sut terbabit. Setiap ukuran perlu ikut spesifikasi badan dan setiap sut memakan masa dua hingga tiga bulan untuk disiapkan manakala penghantaran melalui kapal mengambil masa sekitar sebulan,” ujarnya.

Mengulas tentang harga, katanya, sepasang sut Iron Man yang ditempah itu menelan belanja antara RM4,000 hingga RM5,000 sepasang dan sut paling selesa dipakai adalah buatan Filipina.

“Sejak 2008 sehingga kini, saya telah membelanjakan kira-kira RM60,000 untuk mengubah suai kereta, membeli koleksi barangan dan menempah sut Iron Man dan lain-lain. Saya tidak kedekut membelanjakan gaji saya bagi melayan minat ini,” tambahnya.