ZULKARNAIM MUBIN
ZULKARNAIM MUBIN 

Terletak dalam jarak lima minit perjalanan ke pusat bandar Kuantan dan medan ikan bakar terkenal Tanjung Lumpur, Hotel Senrose menjanjikan kepuasan kepada anda dengan fasiliti, kebersihan dan keselesaan yang setaraf hotel-hotel empat bintang.

Mempunyai 18 bilik - Family, Deluxe King, Superior Queen dan juga Twin Sharing, hotel ini menawarkan kadar harga yang murah bermula RM65 untuk seorang dengan ruang tamunya disediakan satu kafe ala ‘golfer terrace’ untuk `kaki-kaki golf’ bersantai.

Menurut Pengarah Hotel Senrose, Zulkarnaim Mubin, sejak hotel itu dibuka pada awal Januari 2017, ramai dalam kalangan pemain golf selain daripada pelancong tempatan menginap di hotel tersebut kerana kedudukannya yang strategik.

Katanya, `kaki-kaki golf’ suka bermalam di Hotel Senrose kerana jarak perjalanan untuk ke kelab-kelab golf seperti MGCC hanya mengambil masa kira-kira 35 minit perjalanan, Kelab Golf Diraja Pahang (10 minit) dan Kelab Golf Diraja Pekan (sekitar 20 minit).

Selain ke kelab-kelab golf, tambahnya, mereka yang menginap di hotel ini juga mudah dan cepat jika ingin ke pusat bandar Kuantan yang hanya mengambil masa kira-kira lima minit perjalanan.

“Jika mereka ingin menikmati makan malam di medan ikan bakar Tanjung Lumpur, mereka hanya perlu menyeberangi jambatan. Juga tidak sampai lima minit. Pusat rawatan KPJ juga di hadapan hotel ini,” katanya ketika ditemui di hotel itu baru-baru ini.

Menurut Zulkarnaim, Hotel Senrose juga turut dikunjungi pelancong asing seperti dari United Kingdom, Australia dan China.

Katanya, rata-rata dalam kalangan mereka yang pernah menginap di hotel ini pasti akan bermalam lagi di sini jika berkunjung ke Kuantan kerana mereka berpuas hati.

“Dalam usaha memikat hati pelanggan, saya akan memberikan perkhidmatan yang terbaik. Pertama saya akan pastikan kebersihan dan keselesaan pelanggan menjadi keutamaan.

“Saya tidak akan berkompromi dengan pekerja dalam hal ini. Ramai pelanggan suka menginap di hotel ini kerana keadaan bilik yang bersih, besar dan selesa selain kualiti tilam yang baik,” tegasnya.

Bercerita mengenai Hotel Senrose, Zulkarnaim memberitahu, nama itu diperolehnya ketika dia berkunjung ke Australia untuk bermain golf di Perth.

Katanya, ketika berada di sana, secara tidak sengaja dia ternampak pelakon terkenal, Nelydia Senrose sedang menjalani penggambaran dan pada waktu itu juga hotel miliknya yang sedang dalam pembinaan tidak lagi mempunyai nama.

“Jadi terlintas di fikiran saya untuk meletakkan nama hotel ini dengan panggilan Senrose. Sebelum menamakan Senrose, saya juga membuat carian mengenai maksud Senrose. Maknanya ialah ‘sen’ itu memberi maksud ‘duit’, manakala ‘rose’ pula dari segi saintifiknya bermakna ‘kembang’.

“Dalam erti kata lain, ‘rose’ juga melambangkan perkembangan. Begitulah ceritanya. Lagi pun Senrose komersial namanya,” katanya sambil tersenyum.

Jadi, kepada mereka yang ingin merasai kepuasan dan kemudahan perjalanan jika berkunjung ke Kuantan, jadikanlah Hotel Senrose pilihan anda.

Untuk mendapatkan tawaran harga yang istimewa buat tempahan atas talian melalui booking.com, Traveloka atau agoda.com.