Dalam kesibukan membuat persiapan, terdapat pula peserta menarik diri kira-kira dua minggu dan sehari sebelum ekspedisi bermula. Banyak pula ‘ragam’ peserta yang bertanya sama ada gunung itu boleh didaki secara daypack iaitu mendaki ke puncak pada sebelah pagi dan turun semula pada petangnya.

Ada juga peserta yang terpaksa ditolak penyertaannya kerana fizikal tidak mengizinkan memandangkan laluan ke puncak Gunung Biong adalah menaik sahaja, tiada bonus laluan landai.

Tiba tarikh ekspedisi, kami berkumpul di Stesen LRT Gombak. Menjelang pukul 11 malam kami bergerak menuju Kuala Kangsar dengan menaiki beberapa buah kereta. Destinasi kami adalah stesen minyak Petron di bandar Kuala Kangsar. Sekitar pukul 4 pagi, seorang peserta, Nor Thahar Nawi tiba dari Machang, Kelantan. Dia menaiki bas melalui lebuh raya Gerik-Jeli dan bertemu kami di stesen minyak berkenaan.

Selepas menunaikan solat subuh, kami mengagihkan barangan perkhemahan termasuk makanan untuk dipikul sama berat oleh setiap peserta. Seramai 15 orang termasuk Zulfadli dan setiausaha kelab, Muhammad Alif Mu’adz Amrus menyertai pendakian ini.

Sebaik sahaja selesai agihan barang, kami terus bergerak ke Kampung Ngor yang terletak di kiri jalan raya utama selepas simpang masuk ke Sauk. Sekitar pukul 8.40 pagi, kami memulakan langkah mendaki dengan berjalan kira-kira 15 minit menuju ke pintu rimba. Kami kemudian terus mendaki ke paras 600 meter tanpa ada laluan landai.

Kami tiba di check point pertama pada pukul 10.30 pagi dan seperti kata malim gunung, Muhamad Nizar Syawal Hamid, akan ada peserta mengalami kekejangan otot. Tekaannya tepat.

Seorang lagi malim gunung, Muhamad Ainol Azlif Azman menyatakan pendakian ke puncak Gunung Biong adalah untuk pendaki berjiwa kental yang mampu menyerap cabaran dan tekanan laluan menaik. Kami tiba di check point 2 pada pukul 12.30 untuk makan tengah hari.

Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke puncak Mandi Angin sekitar pukul 2.45 petang. Perjalanan ke sumber air terakhir (last water point) dalam tiga jam lagi pendakian menurun sehingga ke paras 950 meter. Di sini air banyak diambil untuk masak dan kegunaan diri sendiri.

Selesai mengambil air, kami mendaki dalam jarak 170 meter lagi untuk ke tapak perkhemahan Ramli pada pukul 6.15 petang.

Makan malam disediakan oleh urus setia program. Saya pula kurang sihat kerana masalah kesihatan.

Muhamad Ainol memaklumkan keesokan hari kami perlu bergerak seawal pukul 6 pagi dan solat subuh di kawasan selepas sungai besar.

Subuh hari kedua ekspedisi, kami mengorak langkah mendaki dan berhenti rehat untuk solat subuh. Semua peserta berkumpul sebelum mendaki ke puncak dan alhamdulillah, kami tiba di puncak pada 9 pagi.

Selesai sarapan dan bergambar, kami turun ke tapak perkhemahan Ramli pada pukul 11.30 pagi. Kami makan tengah hari dan berehat selama kira-kira satu jam di situ. Kemudian 
kami bergerak ke puncak Bukit Mandi Angin pada pukul 2.45 petang.

Kami bersyukur kerana tiba di check point 1 dan sungai sebelum gelap. Kami tiba di tempat letak kereta pada pukul 7.45 malam dan selepas berbincang, kami menuju ke Plaza Tol Kuala Kangsar untuk menghantar Nor Thahar menaiki bas, balik ke Machang.

Selepas makan malam di simpang jalan ke Kuala Kangsar, kami bergerak menuju ke destinasi masing-masing. Ekspedisi berakhir dengan kejayaan menakluk puncak Gunung Biong disambut dengan penuh kesyukuran.