Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ahmad Zharif Anuar sedar keadaan itu dan nekad menjadi penternak kambing dan ayam ratu biarpun tidak glamor dan bermandi peluh setiap hari.

“Saya bermula dengan modal RM3,000 dengan membeli tujuh ekor kambing pada 2016. Ketika itu, saya belum fokus sepenuhnya kerana masih belajar. Saya mula fokus pada tahun ini dan alhamdulillah, pendapatan saya sudah mampu mencecah RM5,000 sebulan.

“Kini saya sudah ada 30 ekor kambing jenis Jamnapari, Boer, Savana dan kambing kampung yang dijual dengan harga antara RM600 hingga RM1,600 ikut saiz dan berat badan,” katanya ketika ditemui di Kampung Belukar, di sini baru-baru ini.

Selain kambing, Ahmad Zhafir juga menjual dan memelihara sebanyak 50 ekor ayam ratu yang kini menjadi kegilaan baharu rakyat di negeri Cik Siti Wan Kembang.

“Saya dapat jana pendapatan melebihi RM1,000 sebulan dengan menjual ayam ratu sahaja. Ayam ini dijual dengan harga mengikut usia, iaitu bermula dengan RM100 bagi ayam berumur sebulan dan lebih mahal jika usia ayam lebih tua,” katanya.

Langkah beraninya itu bukan sahaja membuahkan hasil, malah dia kini semakin maju melangkah ke depan apabila sudah mula menerima permintaan menghantar ternakan ke negeri lain seperti Terengganu, Selangor dan Perak.

Dalam masa sama, Ahmad Zharif juga melakukan kerja sampingan di waktu malam dengan menjual kebab berhadapan dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan sejak sebulan lalu.

“Bagi saya, di waktu muda adalah masa yang tepat untuk kita melakukan segala jenis pekerjaan dengan kudrat yang ada tanpa malu dalam memilih sektor pekerjaan dan kelayakan.

“Kebiasaanya, saya dapat jual lebih 50 biji kebab sehari dengan harga bermula RM3 sebiji, “ ujarnya.

Lelaki yang mendirikan rumah tangga dengan wanita bernama Fasha Rashada Saari, 24, itu juga kini sedang berjinak-jinak dalam bidang pertanian dengan mula mengusahakan penanaman lada hijau dan timun batang. UTUSAN ONLINE