Di sebalik kejayaan M.A.C menempatkan namanya dalam industri ini, terdapat individu-individu yang bukan sahaja menjadi tulang belakang tetapi sentiasa memastikan kejayaan syarikat itu terus dipacu.

Mad About Cake Sdn. Bhd. diasas bersama oleh Cef Wan Noor Zamran Hashim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pereka serta artis kek yang juga Ketua Pegawai Operasi (COO) Zam Akmal Abd. Halim pada 2005 dengan kedua-duanya dibantu oleh artis kek lain seperti Noor Syahirah Mastar dan 12 lagi kakitangannya.

Zam Akmal, 32, berkepakaran dalam bidang kulinari namun dek kerana minat terhadap seni dia menumpahkan bakatnya itu pada hiasan kek apatah lagi diri dia adalah peminat setia rancangan realiti televisyen Amerika Syarikat (AS) Cake Boss yang dikendali oleh keluarga Buddy Valastro.

Noor Syahirah atau Syeera, 26, selain membantu menyiapkan tempahan, kerja-kerjanya lebih tertumpu kepada hiasan menggunakan krim mentega berbanding Zam Akmal yang menggunakan fondant.

Melihat kepada keindahan hiasan kek M.A.C pasti ramai menyangka betapa hebatnya anak-anak muda ini namun sebenarnya kata Zam Akmal, kira-kira lapan tahun lalu tenaga kerja M.A.C mengalami `kejutan budaya’ apabila menerima tempahan kek daripada pelanggan yang mahu dekorasi yang disifatkan sebagai terlalu canggih dan jauh ke depan berbanding kreativiti yang ada pada mereka ketika itu.

“Dahulu kami hanya membuat kek dengan hiasan biasa atau hiasan `bodoh-bodoh’ sahaja malah sama sekali tidak menyangka pelanggan kami mempunyai pendedahan lebih luas tentang dekorasi kek. Mungkin kerana rancangan Cake Boss ketika itu diminati ramai,’’ katanya yang berasal dari Muar, Johor.

Ini membuatkan Zam Akmal terpaksa kembali menuntut ilmu tentang hiasan kek selain belajar melalui pelbagai medium termasuk YouTube. Tegasnya, prinsip M.A.C adalah akan mencuba sebaik mungkin memenuhi tempahan dekorasi pelanggan tetapi tidak menjanjikan hasil 100 peratus seperti dikehendaki.

“Kami tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang tetapi berjanji akan buat yang terbaik namun dalam melayani kerenah,’’ kata bekas penuntut Food Institute of Malaysia (FIM) ini.

Memang kata-kata pelanggan adakalanya membuatkan dia kecewa namun kerana tidak mahu mengalah, Zam Akmal menganggapnya sebagai cabaran yang mendorongnya mempelajari lebih banyak ilmu hiasan kek melalui kursus-kursus advance termasuk memilih tenaga pengajar dari luar negara.

Demi mengasah bakat yang ada, Zam Akmal turut menyertai pelbagai pertandingan seperti Cake Challenge Malaysia yang melayakkannya memenangi pelbagai anugerah bermula 2014 sehingga tahun lalu. Antaranya anugerah Silver, Outstanding Award dan anugerah Gold untuk Live Showpiece dan Live Cupcakes, Hero Oven TV3 yang melayakkannya memenangi tempat kedua dan pemenang pertama bagi pertandingan TV3 Cake Day.

Katanya, antara kek tempahan yang paling rumit adalah kek perkahwinan pasangan pelakon terkenal, Amyra Rosli dan Amar Baharin yang berbentuk istana kerana memerlukan kemahiran dalam reka bentuk, tempoh seminggu untuk menyiapkannya selain bahan yang digunakan.

“Alhamdulillah, hasil kerja berpasukan, kami berjaya menyempurnakannya,’’ katanya sambil menceritakan dekorasi kek bantal setinggi 10 tingkat yang dihasilkan M.A.C turut menjadi tular terutama di luar negara namun malangnya diciplak oleh pihak tidak bertanggungjawab di sebuah negara di Afrika untuk majlis perkahwinan sebuah keluarga kenamaan.

Sepanjang kariernya, Zam Akmal mengakui sering tertekan untuk menyiapkan tempahan kerana bimbang tidak memenuhi kehendak pelanggan. Bagaimanapun dia merasa amat gembira kerana diberi peluang menyiapkan kek sempena sambutan hari kelahiran penyanyi idolanya, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin bulan lalu.

“Memang saya memasang impian membuat kek untuk Siti dan tahun ini impian itu menjadi kenyataan,’’ katanya yang berharap dapat merealisasikan impian membina empayar kek M.A.C seperti Carlo’s Bake Shop yang dimiliki keluarga Valastro.

Sementara itu, kata Syeera, jika bercerita tentang kreativiti golongan wanita lebih kreatif menghasilkan hiasan kek kerana golongan lelaki lazimnya lebih kepada hiasan yang nampak artistik. Lelaki tidak berminat kepada hiasan alam atau bunga sedangkan ramai pelanggan terutama wanita lebih cenderung kepada hiasan sedemikian.

“Bila kita minat, keseronokan itu datang sendiri malah akan sentiasa mencari ilmu baharu apatah lagi setiap tahun hiasan bunga pada kek sering bertukar.’’ katanya.

Namun apalah gunanya hiasan kek yang cantik jika rasanya tidak memenuhi selera justeru bos M.A.C, Wan Noor sendiri menjaga kualiti rasa bagi setiap kek yang ditempah selain menghasilkan pelbagai resipi baharu untuk adunan kek.

“Jika Zam Akmal memberi perhatian terhadap hiasan kek, saya menjaga olahan bahan dalam kek selain menghasilkan resipi baharu,’’ kata Wan Noor.

Katanya, M.A.C kini melebarkan sayap perniagaan dengan menghasilkan kira-kira 10 jenis biskut seperti biskut coklat cip Cookies Most Wanted (CMW), biskut tart seperti nutella dan nanas serta biskut mentega markisa yang turut dipasarkan di stesen-stesen minyak utama di negara ini. Selain kedai M.A.C di Taman Mayang Sari, Kelana Jaya, syarikat Mad About Cake Sdn. Bhd. turut memiliki sebuah kilang untuk menghasilkan biskut-biskut berkenaan selain mempunyai sebuah cawangan kedai kek di Taman Daya, Johor Bahru.

Kami tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang tetapi berjanji akan buat yang terbaik namun dalam melayani kerenah pelanggan.