Menariknya, perlawanan tinju paling bersejarah untuk merebut tali pinggang Tinju Heavyweight Sedunia (World Heavyweight) itu ditaja khas oleh Bank Rakyat, sebuah bank koperasi oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 2 Julai 1975 menyiarkan berita di muka depan bertajuk ‘Ali tetap Raja Tinju’ yang merakamkan foto Joe Bugner ditumpaskan melalui kiraan mata sebanyak 15 pusingan di hadapan kira-kira 10,000 orang penonton dan disaksikan berjuta-juta penonton menerusi siaran langsung televisyen.

Perlawanan bersejarah itu turut disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agung, Sultanah Bahiyah Tunku Abdul Rahman, Raja Perlis, Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dan menteri-menteri Kabinet.

Melalui perlawanan yang disiarkan secara langsung dipancarkan kepada 71 negara itu, membo­lehkan Muhammad Ali mengaut keuntungan sebanyak RM2 juta dan Joe Bugner RM500,000 hasil perlawanan tersebut.

Bugner yang me­rupakan juara tinju Eropah pernah bertarung dengan tokoh tinju legenda itu pada 1975 yang juga dimenangi oleh Muhammad Ali dalam perlawanan berlarutan sebanyak 12 pusi­ngan.

Wartawan Utusan Malaysia, Ahmad Idris yang melaporkan perlawanan epik itu di muka hadapan dengan tajuk: ‘Ali Tetap Raja Tinju’ menyatakan, orang ramai mula berpusu-pusu masuk ke stadium Merdeka sejak pukul 5 pagi untuk me­nyaksikan pertarungan hebat itu.

Bandar raya yang sentiasa sibuk setiap pagi kelihatan lengang di saat menjelang perlawanan itu. Bagaimanapun keadaan di Stadium Merdeka tenang dan ramai anggota polis hutan dan FRU berkawal di dalam dan di luar stadium tersebut.

Perlawanan tersebut yang dijadualkan bermula pukul 9.30 pagi ditunda 10 minit kemudian kerana ada dua perlawanan middleweight dan lightweight di New York yang sedang dipancarkan secara langsung melalui televisyen ke beberapa buah negara.

Tepat pukul 9.40 minit pagi, Joe Bugner naik ke gelanggang dan diikuti oleh Muhammad Ali empat minit kemudian. Sebaik sahaja kedua-dua jaguh dunia itu naik ke gelanggang, tepuk sorak daripada para penonton bergema di stadium. Serentak dengan itu, pukulan rebana ubi yang dipalu oleh tujuh orang pemuda berkumandang di stadium.

Muhammad Ali dan Joe Bugner yang ma­sing-masing menggunakan sarung tangan merah kelihatan tenang sahaja.

“Dalam pertarungan yang berjalan sebanyak 15 pusingan itu Muhammad Ali telah menunjukkan permainan yang baik dan sentiasa membelasah Joe Bugner dengan tangan kirinya.

“Muhammad Ali tidak menggunakan teknik ‘Russian Tank’ dan ‘Rope-a-dope’ sebagaimana yang diumumkan sebelum ini. Tetapi Muhammad Ali lebih banyak menggunakan taktik lamanya dengan menari-nari di tepi gelanggang sambil melepaskan tumbukan” (Utusan Malaysia, Rabu 2 Julai 1975).

Muhammad Ali memperlihatkan kemampuannya kepada dunia bahawa dia masih lagi kuat untuk bertarung dan tetap raja tinju heavyweight dunia.

“Di hadapan kira-kira 10,000 orang penonton yang menyaksikan pertarungan itu, Muhammad Ali bukan saja menari-nari tetapi juga membelasah Joe Bugner secukupnya” (Utusan Malaysia, Rabu 2 Julai 1975).

Ahmad Idris melaporkan, juara tinju dunia itu telah banyak memungut mata dari tumbukan-tumbukan kencang seperti kilat. Joe Bugner juga berada dalam keadaan sihat, tetapi sasarannya hanya dibuat di bahagian badan Muhammad Ali dan sekali sekala melepaskan tumbukan-tumbukan hingga mencederakan sedikit mata kanan Muhammad Ali.

“Muhammad Ali sekali lagi membuktikan kegagahannya apabila dia mengalahkan Joe Bugner dengan kiraan mata dalam pertarungan hebat 15 pusingan di Stadium Merdeka hari ini” (Utusan Malaysia Rabu 2 Julai 1975).

MOMEN 
& MEMORI

“Dalam pertarungan yang berjalan sebanyak 15 pusingan itu Muhammad Ali telah menunjukkan permainan yang baik dan sentiasa membelasah Joe Bugner dengan tangan kirinya.