Tidak dinafikan timbul rasa rindu untuk mendaki kerana aktiviti itu bukan sahaja menyeronokkan, malah bagus untuk kesihatan. Sebab itu ada kalanya Raja Nur Fadhilah atau lebih mesra dipanggil Fadh akan menggagahkan diri mendaki bukit-bukau yang rendah dan kurang cabaran kerana kecederaannya masih belum pulih sepenuhnya.

 

Baginya mendaki memberikan satu pengalaman dan kepuasan yang sukar digambarkan. Sebaik sahaja tiba di puncak, apa yang dirasai adalah kepuasan sehingga segala penat lelah mendaki hilang saat melihat keindahan alam semula jadi dari puncak gunung.

“Minat ini timbul ketika usia saya awal 20-an, bermula daripada ajakan teman-teman. Sejak itu timbul rasa seronok lebih-lebih lagi saya memang menggemari aktiviti mencabar.

“Lebih menguatkan minat itu apabila sampai ke puncak, saya dapat lihat cantiknya pemandangan alam dan kebetulan saya memang gemarkan kehijauan alam berbanding lautan.

Tetapi, semua itu terpaksa ditinggalkan buat sementara waktu. Saya isi kekosongan itu dengan menonton wayang dan kerap melakukan senaman tabata untuk kecergasan tubuh,” katanya.

Gadis asal Alor Star, Kedah ini memberitahu, mendaki juga sebenarnya dapat menghilangkan tekanan kerana senaman itu dapat melancarkan peredaran darah dan memberi ruang untuk berfikir.

Malah tambahnya, tahap tekanan diri seseorang juga banyak ditentukan oleh gaya hidup dan suasana sekeliling mereka.

Bercerita tentang kerjaya, eksekutif kanan akaun di sebuah syarikat swasta itu merancang memperoleh Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) bagi meningkatkan lagi tahap kemahiran dalam kerjayanya.

“Matlamat saya menyambung pengajian adalah untuk meningkatkan kebolehan dan kemahiran diri kerana persaingan dalam kerjaya kini semakin sengit, tentunya kita tidak mahu kekal pada takuk lama.

“Cuma, saya perlu mencari waktu sesuai untuk menyambung ACCA kerana belajar sambil bekerja bukanlah sesuatu yang mudah. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu gagal atau mengambil masa yang terlalu lama untuk menamatkan pengajian,” katanya.