Tetapi ajalnya belum tiba.

Dia terselamat tetapi fizikalnya tidak lagi sama. Kedua-dua kakinya kudung akibat bom yang digugurkkan di barat daya Idlib.

Muhammed masih bernasib baik kerana masih mempunyai ibu. Tetapi serangan berterusan sejak April lalu memaksa keluarganya mencari perlindungan ke tempat lain yang lebih selamat.

Selagi berada di Idlib, tiada tempat yang terkecuali dari serangan tentera regim melainkan menyeberang sempadan ke negara jiran.

Keadaannya yang cedera dengan status anak yatim, mendapat perhatian pihak berkuasa Turki untuk mendapat perlindungan di Reyhanli.

Selain diberikan rawatan dan perlindungan di rumah anak yatim. Penderitaannya mendapat perhatian pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Humanitarian Relief Foundation (IHH), the Economic Cooperation Organization (ECO) dan Alliance of International Doctors (AID) yang berusaha membantunya untuk kembali pulih meskipun tidak lagi normal seperti kanak-kanak lain.

Dorongan dan perangsang memberi semangat kepada Muhammed yang kini berusia lapan tahun.

Sumbangan kaki palsu baginya begitu bermakna.

Dia kini berada di Reyhanli, Turki dan ditempatkan di sebuah rumah anak yatim di situ.

Selain mendapat rawatan, kanak-kanak ini beransur-ansur pulih dan kini bersemangat untuk kembali berjalan dengan kaki palsu.

“Saya amat teruja dapat bermain dengan kawan-kawan. Saya merasa bebas kerana dapat pergi ke sekolah dan laku semua benda dengan sendiri,” kata Muhammed.

Di sebalik kegirangan menerima kaki palsu dan mula belajar berjalan semula, perjalanan hidupnya masih panjang.

Dalam keadaan yang cacat dan menumpang di negara orang, ia bukan mudah untuk ditempuhi di hari-hari mendatang.

Ramai lagi kanak-kanak Syria yang senasib dengan Muhammed tetapi masih terbiar dan terlepas pandang.

Sebenarnya dalam keadaan yang aman makmur, kita kini sedang diuji… Sejauh mana kita prihatin dengan nasib mereka yang ditimpa musibah.

Razali Awang adalah aktivis bersama Media Syria Care