Ia bukan hanya soal hujan, panas, tempoh masa, kemalangan atau isu-isu teknikal motosikal, bahkan melibatkan aspek kewangan. Mungkin situasi itu boleh dikaitkan dengan pengalaman dilalui oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman yang mula melibatkan diri dengan konvoi motosikal pertengahan 1980-an.

“Saya mula berjinak-jinak dengan aktiviti berkonvoi ketika belajar di UKM dan waktu itu saya guna motosikal RXZ 135 untuk pergi ke Pulau Pinang, Terengganu, Perak dan Johor bersama rakan-rakan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bangi, baru-baru ini.

Beliau juga pernah berkonvoi ke Terengganu dengan rakan-rakan seuniversiti yang berasal dari negeri itu. Walau bagaimanapun, apabila pulang semula ke UKM, beliau terpaksa menunggang seorang diri.

Meski pun pada masa itu beliau merasakan agak sukar menunggang motosikal berseorangan lebih-lebih lagi tiada kemudahan lebuh raya seperti sekarang, tetapi itu satu pengalaman yang menyeronokkan.

“Saya menunggang motosikal untuk santai sambil menikmati suasana sekeliling dan aktiviti komuniti setempat,” katanya yang kini menjadi Penasihat UKM Bikers.

Berpegang kepada prinsip tersebut, aktiviti konvoi beliau banyak diselitkan dengan program kemanusiaan dan kebajikan sama ada bersama kelab motosikal atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kekentalan semangat berkonvoi tidak pernah padam walaupun pernah terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di Johor Bahru pada 1986 dan semasa menyambung pengajiannya ke United Kingdom (UK).

“Bagi saya, itulah cabaran bila berkonvoi, tetapi untuk jadikannya lebih menarik dan puas hati, saya selitkan dengan program kemanusiaan dan kebajikan,” katanya.

Tidak hairanlah selepas menamatkan pengajian di UK pada 2001, Mohd. Ekhwan kembali ke Malaysia dan mula berjinak-jinak dengan aktiviti konvoi bermotosikal jarak jauh bersama beberapa kelab motosikal.

Mungkin secara kebetulan pada waktu itu pasaran motosikal tempatan digegarkan dengan kemunculan motosikal berkonsepkan cruiser iaitu Modenas Jaguh 175cc.

“Dengan Jaguh saya berpeluang sampai ke sempadan Thailand iaitu pekan Sado dan itulah kali pertama saya belajar berkonvoi untuk jarak jauh.

“Bukan itu sahaja, saya juga melihat tentang peranan yang boleh dimainkan oleh konvoi motosikal dalam kerja-kerja atau aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan bersama komuniti setempat,” katanya.

Antara yang lain adalah ketika bersama 7th Heaven Biker Club, berjaya membina sebuah rumah anak-anak yatim dan sekolah tahfiz di Kampung Canang (Kemboja) dan bersama UKM Bikers dalam program Kembara UKM-Pondok Ban Tan, Nakhon Si Thammarat, Thailand, pada tahun lalu.

“Paling aktif ketika bersama Goldwing Owner Club Terengganu (GOCT) pada 2014. Bukan hanya berpeluang konvoi ke seluruh Asia Tenggara, malah juga terlibat dalam pelbagai aktiviti kemanusiaan dan kebajikan.

“Ini kerana, ahli-ahli dalam kelab motosikal itu adalah kalangan profesional dalam pelbagai bidang seperti doktor, pensyarah, jurutera, akauntan dan ahli perniagaan,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui ada pengalaman yang menggelikan hati sepanjang menunggang motosikal Jaguh yang akhirnya menjadi penyebab utama beliau terpaksa menjual jentera dua tayar itu.

“Masa tengah seronok tunggang motosikal itu, secara tiba-tiba motosikal Yamaha LC 135cc boleh potong saya begitu sahaja.

“Selepas peristiwa itu dan berasakan ada rezeki lebih, saya beli motosikal jenis Yamaha Faze 1000cc,” katanya.

Beliau mengakui keputusan untuk memiliki motosikal berkuasa besar telah membuka peluang lebih luas untuk berkonvoi hingga ke China, Laos, Kemboja, kawasan Segi Tiga Emas dan Thailand.

“Dalam penyertaan itulah saya banyak kali jual beli motosikal supaya sesuai dengan jarak konvoi yang disertai dan terkini saya kerap guna motosikal Honda Gold Wing,” katanya.

Perlu sertai kelas kemahiran

“ADA lesen motosikal kelas B bukan bermakna kita sudah layak menunggang motosikal berkuasa besar. Tetapi perlu ada kemahiran khusus untuk kendalikannya.” Demikian pandangan Mohd. Ekhwan apabila ditanya tentang cabaran mengendalikan jentera dua tayar berkuasa besar itu.

Beliau menyatakan demikian kerana majoriti yang terlibat dalam dunia motosikal berkuasa besar sudah berusia atau mempunyai kedudukan kewangan yang mantap.

Justeru katanya, mereka hanya membeli motosikal tersebut tanpa perlu berusaha menyertai mana-mana kelas bagi membina dan memantapkan kemahiran untuk mengendalikan jentera berkenaan.

“Memperoleh lesen kelas B sahaja tidak cukup. Banyak perkara yang perlu dipelajari. Jangan terkejut jika ada yang (terlibat) kemalangan sebaik sahaja keluar dari kedai motosikal,” katanya.

Mohd. Ekhwan menggariskan beberapa cabaran lain yang biasa dilalui oleh mereka yang menunggang motosikal berkuasa besar dan antaranya adalah alpa terhadap aspek keselamatan diri.

Ada yang menunggang motosikal berkuasa besar dengan hanya berbaju kemeja-T, seluar jeans dan topi keledar biasa.

Malah, ada juga sanggup mengendalikan jentera itu ketika keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

Beliau percaya apabila seseorang mula mengendalikan jentera tersebut, tidak mungkin membawanya dalam lingkungan bawah 60 kilometer sejam (kmj).

“Aura motosikal berkuasa besar tidak akan memungkinkan seseorang itu membawanya di bawah 60 kmj.

Mesti hendak bawa (pecut) lebih 100 kmj barulah rasa nikmat menunggangnya,” katanya.

Cabaran lain adalah aspek masa kerana bagi beliau, seseorang tidak boleh berada dalam keadaan tergesa-gesa apabila menunggang motosikal berkuasa besar.

Ini kerana, kuasa pecutan motosikal berkuasa besar tidak boleh disamakan dengan motosikal kelas biasa khususnya apabila melalui jalan sesak atau berkonvoi di laluan yang turut dipenuhi dengan kenderaan lain.

“Kita kena tenang dan tidak boleh fikir masalah kerana setiap saat kita bawa motosikal ia akan menentukan ke mana hala tuju kita pada waktu berkenaan,” katanya.

Selain itu, Mohd. Ekhwan memberitahu, penunggang motosikal berkuasa besar perlu ingatkan diri bahawa jalan raya bukan milik mutlak mereka atau litar lumba.

“Kita perlu ingat bahawa jalan raya hak milik awam. Jadi, kita perlu berhati-hati dengan pemanduan kenderaan lain dan dalam masa sama elakkan sikap suka berlumba sesama sendiri atau hendak tunjuk kemahiran,” katanya.