MyeongDong Topokki merupakan restoran yang memperkenalkan pelbagai jenis makanan Korea yang semakin diterima rakyat Malaysia sejak ditubuhkan pada 2014.

Restoran yang diilhamkan daripada konsep kereta api bawah tanah di Myeong-dong, salah satu lokasi yang digelar Syurga Makanan itu kini memiliki 50 cawangan di seluruh Malaysia dan dijangka membuka cawangan di Jakarta dalam masa terdekat ini.

Baru-baru ini, restoran tersebut menganjurkan pertandingan akhir Cabaran Pedasss Chick-Yun iaitu untuk mencari seorang pemenang yang mampu menikmati hidangan pedas dalam masakan Korea.

Pertandingan yang dianjurkan pada 4 Ogos lalu berjaya menarik kira-kira 1,000 penyertaan menerusi laman sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif MyeongDong Topokki, Vincent Lua berkata, pertandingan tersebut dianjurkan bagi memberi cabaran kepada orang ramai untuk menikmati makanan pedas yang disediakan penganjur.

“Walaupun menerima banyak penyertaan, namun untuk peringkat akhir hanya 30 peserta layak merebut hadiah utama bernilai RM3,500.

“Peserta akhir dipilih dan ditapis berdasarkan gambar memakan ramen pedas yang disediakan serta memuat naik ke dalam laman sosial,” katanya.

Dalam perkembangan lain Vincent memberitahu, walaupun menu utama berasaskan makanan Korea, namun ia diubah mengikut cita rasa rakyat Malaysia.

“Rahsia makanan Korea bergantung kepada ramuan dan jenis cili. Kepedasan makanan Korea tidak sama seperti masakan Malaysia. Pedasnya akan terasa selepas 10 saat anda makan dan memerlukan kekuatan mental untuk menghabiskan hidangan tersebut,” ujarnya.