Itu ayat sesuai digunakan bagi Kejohanan Golf Amatur Saujana edisi ke-32 pada 25 hingga 27 Jun di Saujana Golf & Country Club apabila penganjur menaikkan prestij pertandingan dengan menggunakan lapangan Cobra sebagai medan saingan kali ini. Lapangan itu merupakan lokasi Kejohanan Maybank 2019 pada Mei lalu.

Ini bermakna kesemua 150 peserta golf amatur dari 15 negara akan merasai kehangatan dan cabaran getir sama seperti dilalui jaguh-jaguh dunia profesional sewaktu Kejohanan Maybank pada bulan lalu.

Lebih menjadikan saingan kali ini menarik dan dramatik apabila Saujana Golf & Country Club menaik taraf lapangan Cobra dengan menyalin permukaan rumput yang baharu sewaktu aksi Kejohanan Maybank pada tahun ini.

Bukan itu sahaja, kejohanan di Saujana Golf & Country Club itu turut menawarkan tempat buat juara untuk bermain dalam kejohanan Jelajah Pembangunan Asia 2019 sekali gus menjadi rebutan dalam kalangan semua peserta.

Pengerusi kejohanan, Lee Kwok Meng mengakui sambutan kali ini lebih menggalakkan terutama peserta dari luar negara.

“Kejohanan Golf Amatur Saujana merupakan kejohanan yang melahirkan ramai pemain golf bertaraf dunia antaranya Robert Allenby dari Australia (juara 1990), Danthai Boonma dari Thailand (juara 2014) dan pemain nombor satu Malaysia, Gavin Kyle Green (juara 2009, 2011 & 2012). Oleh itu kami berusaha keras untuk mengekalkan tradisi kejohanan pada tahap yang terbaik.

“Kejohanan kali ini juga merupakan peluang terbaik untuk pemain amatur meneruskan kerjaya mereka dalam sukan golf apabila Jelajah Asia menawarkan tempat buat juara untuk bermain dalam kejohanan Jelajah Pembangunan Asia 2019,” kata Kwok Meng dalam majlis pelancaran kejohanan itu di Hotel Saujana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yang turut hadir wakil MGA, Brian Pereira; Penolong Pengurus Besar Hotel Saujana, V.S. Kuganesan; Pengarah Kelab Golf Saujana, T.H. Choy dan Pengurus Besar Kelab Golf Saujana, S.A. Nathan.

Kejohanan Amatur Saujana sebelum ini menyaksikan Green dinobat sebagai juara pada 2009, 2011 dan 2012 sebelum beralih ke profesional.

Antara pemain Malaysia yang juga pernah menobatkan jaguh negara seperti Steward Ginn (1995), R. Nachimuthu (1996, 1997), Aril Rizman (1999), Rahizam Ramli (2000) dan Daeng Abdul Rahman (2015).

Dengan penyertaan pemain-pemain dari Australia, Bahrain, Chinese Taipei, Fiji, Guam, Hong Kong, India, Indonesia, Myanmar, Nepal, New Zealand, Pakistan, Filipina, Singapura dan Malaysia, kejohanan kali ini pasti menjanjikan saingan sengit dan bakal menyaksikan juara baharu yang mampu menggegar dunia golf.

Ketika ini selain Malaysia, penyertaan luar paling ramai diterima adalah dari Australia yang menghantar lapan wakil selain New Zealand dan Singapura (tujuh), Hong Kong (enam), Taiwan (lima), serta masing-masing empat dari Nepal, Fiji ,Guam, India, Pakistan, Indonesia, Bahrain, Myanmar dan Filipina.

Bagaimanapun, pada tahun ini penyandang juara, Joshua Ho tidak dapat hadir mempertahankan kejuaraannya.

Sementara itu Pengarah kejohanan, Mohd. Paudzai Ishak berkata, pihaknya sudah mempersiapkan lapangan Cobra sebaik mungkin di samping cabaran-cabaran yang bakal dihadapi oleh pemain.

Katanya, peluang untuk meraih kemenangan terbuka kepada semua pemain yang rata-rata dilihat mempunyai kualiti yang bagus, bukan sahaja pemain Malaysia, malah pemain-pemain luar seperti dari Australia, India, Singapura dan Indonesia.