Puteri Nur Anati Redhuan, 21, atau dikenali sebagai Anne mengaku mempunyai minat mendalam untuk menjadi model berjaya di samping mempunyai kerjaya kukuh.

“Setiap wanita pasti mempunyai cita-cita dan impian yang ingin dikecapi dalam hidup dan tidak

 

salah untuk mencapai cita-cita yang sering dianggap mustahil oleh orang lain kerana kita lebih mengetahui kemampuan diri sendiri.

“Namun, saya masih perlu belajar banyak lagi perkara dalam usaha mencapai cita-cita itu kerana masih kurang pengalaman dalam bidang tersebut,” katanya.

Anne yang kini melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Pengajian Perniagaan Antarabangsa, Universiti Limkokwing bagaimanapun tidak mahu kerjaya sambilannya mengganggu pencapaian dalam pelajaran.

“Saya tidak boleh terlibat aktif buat masa ini kerana masih dalam pengajian ijazah dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk memberikan komitmen sepenuhnya.

“Namun, disebabkan minat mendalam saya masih terima beberapa tawaran fotografi dari beberapa agensi untuk mempromosikan produk mereka,” katanya.

Tambah Anne, untuk berkeyakinan ketika berhadapan lensa kamera, seseorang itu perlu percaya bahawa dia mampu lakukan apa sahaja.

“Jangan pedulikan apa orang lain kata kerana tidak semua orang suka melihat kita berjaya. Kadang-kala mereka akan gunakan kelemahan diri kita semata-mata untuk menjatuhkan kita.

“Pengalaman hidup banyak mengajar saya untuk menjadi lebih berani dalam melangkah ke arah dunia moden yang makin mencabar,” katanya.

Mengulas lanjut, Anne yang kini dilantik sebagai duta Miss Kebaya Malaysia memberitahu, dia turut mempunyai hobi melancong.

“Orang cakap jauh perjalanan luas pemandangan. Saya memang suka melihat budaya serta masyarakat negara lain kerana setiap negara yang dilawati mempunyai keunikan tersendiri.

“Setakat ini sebanyak lapan buah negara sudah saya lawati termasuk Australia, Korea, China, Thailand, dan Indonesia,” katanya.