Antara destinasi aktiviti lasak sedemikian adalah District 21 yang terletak di IOI City Mall Putrajaya. Sejak dibuka kepada umum pada Disember 2016, pengunjung dari pelbagai peringkat umur dan jantina datang untuk mencuba 10 aktiviti lasak yang disediakan.

Lokasi tersebut menjadikannya antara pusat aktiviti riadah lasak yang digemari. Tidak perlu lagi ke lokasi jauh seperti hutan atau bukit untuk mencari sukan ekstrem kerana konsep sama

NOOR SYAIFUL AZLAN ABD. MAJID
NOOR SYAIFUL AZLAN ABD. MAJID 

diterapkan di District 21.

“Ia sejajar dengan konsep District 21 yang lebih kepada aktiviti riadah untuk menyihatkan badan sama ada bersama ahli keluarga atau rakan-rakan pada hujung minggu atau cuti umum.

“Dalam masa sama ia juga bagi memenuhi matlamat sesebuah organisasi untuk mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan antara majikan dan pekerja,” kata Eksekutif Back Operation District 21, Noor Syaiful Azlan Abd. Majid ketika ditemui di pusat rekreasi berkenaan di IOI City Mall Putrajaya, baru-baru ini.

District 21 yang terletak dalam bangunan IOI City Mall Putrajaya itu merangkumi kawasan seluas 70,000 kaki persegi dan boleh memuatkan sehingga 500 orang dalam satu-satu masa.

Terdapat kira-kira 10 aktiviti lasak yang akan menguji kekuatan dan kecerdasan minda pengunjung. Sepuluh aktiviti lasak itu adalah Tubby Ride, Yoyo Car, Free Fall, Low Ropes, The Maze, Launch Pad, Sky Trail, Power Station, Ninja Warrior Course dan Roller Glider.

Dalam pada itu Noor Syaiful Azlan tidak menafikan faktor lokasi District 21 yang terletak dalam bangunan turut menjadi tarikan pengunjung kerana mereka tidak perlu memikirkan soal cuaca untuk menikmati aktiviti lasak.

“Biasanya, aktiviti lasak seperti ini diadakan di tempat atau kawasan terbuka dan sudah pasti keadaan cuaca yang kini tidak menentu menjadi halangan kepada penggemar aktiviti lasak meneruskan minat mereka.

“Boleh dikatakan konsep kami adalah yang pertama di Malaysia. Kami kumpulkan semua aktiviti lasak di bawah satu bumbung untuk disertai tanpa sebarang halangan,” katanya.

Menyentuh antara aktiviti lasak yang mendapat tumpuan, Noor Syaiful Azlan memberitahu, Roller Glider yang menggabungkan antara permainan Roller Coster dengan Flying Fox mendapat sambutan hangat pengunjung kerana ia benar-benar menguji kekuatan dan kecerdasan minda peserta.

“Samalah dengan aktiviti kedua paling mencuri perhatian iaitu Ninja Warrior Course. Bentuk halangannya tidaklah sesukar seperti yang ditonton menerusi televisyen.

“Apa yang kami reka atau cipta bukan untuk menyusahkan pengunjung tetapi untuk memberi peluang kepada mereka mengisi masa lapang dan bersukan selain memupuk gaya hidup sihat,” katanya.

Bagaimanapun Noor Syaiful Azlan berkata, dalam usaha memastikan keseronokan menikmati aktiviti lasak, pihaknya melakukan pelbagai cara bagi mengelakkan wujud elemen-elemen yang membantutkan minat pengunjung.

Tambahnya, walaupun dengan satu tiket pengunjung boleh menikmati aktiviti yang ada bermula pukul 10 pagi hingga 8 malam, tetapi ada beberapa aktiviti memerlukan banyak masa dan tenaga untuk melakukannya.

Beliau mengambil contoh aktiviti rock climbing yang nampak mudah tetapi memerlukan masa dan tenaga yang banyak untuk memanjat dinding dalam menjayakan aktiviti tersebut.

“Kami beri masa 15 minit untuk setiap pengunjung melakukan aktiviti ini. Selepas tempoh tersebut, pengunjung terbabit perlu rehat sebelum meneruskan aktiviti sama atau aktiviti yang lain.

“Tempoh masa itu sesuai kerana kalau lebih lama, mereka tidak sempat untuk mencuba permainan atau aktiviti lain. Nampak mudah tetapi bila mula main, keletihan akan terasa,” tambahnya.

Selain itu beliau berkata, setiap halangan dalam aktiviti lasak itu tidak hanya dipantau dengan teliti, malah pengunjung akan dibimbing oleh penyelia keselamatan District 21.

“Pengunjung tidak perlu berasa takut kerana aspek keselamatan menjadi keutamaan di sini,”ujarnya.