Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang fakir, orang miskin, pengurus zakat, mualaf yang dijinakkan hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang yang berhutang untuk jalan Allah, dan orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (al-Taubah: 60)

Elemen kemanusiaan dan struktur kemasyarakatan dijelaskan menerusi lapan asnaf atau golongan yang berhak menerima zakat ini jika ditekuni adalah mewakili juzuk-juzuk terpenting dalam kategori hidup.

Secara halus, ini menunjukkan kategori manusia yang mendominasi kehidupan dan membentuk landskap sebuah komuniti masyarakat.

Golongan fakir miskin, orang berhutang (gharimin), mereka yang bermusafir (ibn sabil) dan lainnya merupakan kriteria manusia yang berada sepanjang masa dan zaman. Inilah dalil menunjukkan bahawa pembahagian dan sistem zakat ini benar-benar datangnya dari Allah dan bukan rekayasa baginda Nabi.

Imam Abu Daud dalam kitabnya meriwayatkan daripada Ziyad bin Haris As-Sadai r.a. menceritakan bahawa, beliau datang kepada Nabi lalu berbaiah (mengucapkan janji setia) kepadanya. Kemudian datanglah seorang lelaki lalu berkata kepada Nabi: “Berikan kepadaku sebahagian daripada zakat itu.” Maka Nabi bersabda kepadanya: “Sesungguhnya Allah tidak rela kepada keputusan seorang Nabi pun, tidak pula kepada orang lain dalam masalah zakat itu, melainkan Dia sendirilah yang memutuskannya. Maka Dia membahagi-bahagikannya kepada lapan golongan. Jika engkau termasuk dalam kalangan mereka itu, maka aku akan pasti memberikan zakat kepadamu.”

Justeru, tatkala ayat zakat berbicara tentang manusia yang khusus, sudah tentu ia punya matlamat yang juga khusus buat mereka. Syaraful Hayah kali ini menyingkap sisi yang jarang disentuh dalam membincangkan mengenai dunia zakat iaitu aspek keusahawanan sosial.

KEUSAHAWANAN SOSIAL DAN ZAKAT

Sejarah membuktikan zakat pernah diangkat sebagai elemen yang mendominasi urusan kewangan dan pentadbiran negara. Dana zakat pernah menjadi antara sumber utama dalam perekonomian negara yang ditadbir oleh pemerintahan Islam.

Lihat sahaja kegemilangan institusi zakat dan baitulmal pada zaman Khalifah Saidina Umar al-Khattab r.a. dan diteruskan kemuncaknya pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang berjaya menjadi tunggak keadilan sosial serta material dalam masyarakat dipimpin.

Namun, dunia kini sudah menerima perubahan pesat. Negara-negara Islam moden tidak lagi menjadikan zakat sebagai sumber prima pentadbiran kewangan negara sebaliknya digantikan dengan sistem cukai dan lainnya.

Meskipun begitu, zakat masih dilihat besar peranannya dalam membangunkan kelompok masyarakat. Melihat kepada kategori asnaf zakat itu sendiri dapat diketahui sumber permasalahan yang berakar tunjang dari lubuk masyarakat itu sendiri.

Di sinilah zakat dilihat mampu menjadi satu sistem keusahawanan sosial yang patut diberikan perhatian. Antara lain elemen ibadah dan keagamaan yang disinergikan usaha pembangunan asnaf menerusi sistem agihan terancang, komprehensif serta berdaya maju bakal menunjukkan betapa Islam itu mampu memberi jawapan kepada permasalahan kehidupan.

Inovasi dalam agihan perlu difikirkan sesuai dengan kondisi negara menuju revolusi industri 4.0. Sistem zakat juga wajar lebih berdaya saing dan maju.

Ini bukan omongan kosong. Bukti sejarah menunjukkan zakat pernah berjaya dalam usaha pembasmian kemiskinan tegar. Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Umar bin Usaid katanya: “Saidina Umar bin Abdul Aziz hanya memerintah selama dua tahun setengah (30 bulan). Namun aku bersumpah demi Allah! Tidak sama sekali beliau meninggal dunia kecuali setelah berlakunya peristiwa seorang lelaki datang untuk menyerahkan zakatnya (kepada pemerintah) untuk diserahkan kepada fakir miskin. Namun setelah menunggu sekian lama tiada yang mahu menerimanya dan tiada yang berhak menerima zakat dijumpai. Akhirnya lelaki tersebut kerap kali pulang bersama hartanya kembali.”

INOVASI AGIHAN

Inovasi dalam sistem pengagihan zakat? Mungkin ini soalan yang berlegar dalam minda rata-rata umat Islam. Apakah satu sistem klasik sebegini mampu mendepani kehendak dan keperluan moden masa kini?

Ambil contoh ini sebagai jawapan. Dalam perbincangan resolusi IFA-OIC no.15 (3/3) oleh Rumah Zakat Kuwait menerusi simposium ketiga mereka menyatakan aplikasi agihan zakat secara ‘non-traditional’ adalah dibenarkan.

Ini adalah bersumberkan sirah Rasulullah ketika unta, lembu dan kambing zakat dikumpulkan, ia tidak diagihkan terus secara langsung. Tetapi ketika itu, hanya susu unta diberikan kepada penerima zakat.

Begitu juga kisah sekumpulan pendatang dari Uraynah yang dibenarkan untuk meminum susu unta zakat lalu kemudiannya mereka membunuh tuan punya unta dan merompak semua unta zakat tersebut lalu baginda mengarahkan agar mereka ditangkap.

Hujahnya adalah susu terhasil daripada haiwan zakat yang terkumpul dan dikandangkan dianggap sebagai satu daripada hasil atau pulangan pelaburan.

Jika aset zakat itu dibenarkan untuk dilaburkan dan terdedah kepada kehilangan serta risiko sebagaimana kes unta zakat yang dirompak itu, maka jika peruntukan zakat bagi kegunaan asnaf apatah lagi jika terkawal dan mempunyai perlindungan adalah lebih wajar untuk dibenarkan.

Inilah bukti dan hujah jelas menunjukkan institusi zakat boleh mendepani perubahan semasa dalam meraikan kepelbagaian situasi masyarakatnya serta penyesuaian terhadap daya upaya golongan penerima zakat itu sendiri.

KELESTARIAN ZAKAT

Ibadah zakat dan keistimewaannya tidak dapat dinafikan. Kelestarian ibadah ini sehinggalah dunia sampai ke penghujungnya menunjukkan betapa Allah menjamin kebajikan sosial umat manusia.

Yang tinggal hanyalah bagaimana manusia menggunakan kepintaran dan akal kurniaan Allah bagi meneroka ruang dan peluang serta kaedah lebih mapan dalam mendokong aspirasi asnaf menerusi ibadah zakat yang ditunaikan.

Terokailah khazanah tersisip dalam sejarah gemilang yang pernah terlakar kemas untuk mendepani cabaran kini dan masa hadapan.