Penganugerahan Islam meletakkan kaum wanita di tempatnya yang selayaknya telah mengundang kedengkian musuh–musuh Islam ditambah dengan perbincangan berkaitan kedudukan wanita dalam masyarakat Islam merupakan satu perkara yang masih menjadi isu dalam banyak negara.

ZAMRI HASHIM
ZAMRI HASHIM 

Keadaan diburukkan lagi dengan usaha-usaha pihak tertentu yang cuba memburukkan wajah Islam dengan mengaitkan dengan isu-isu kewanitaan seperti poligami, hijab, lelaki lebih tinggi statusnya daripada wanita, pembahagian harta pusaka, isu suami boleh memukul isteri dan sebagainya.

Bahkan tidak sedikit wanita yang terkeliru dengan gerakan mempromosi untuk ‘membebaskan’ wanita dari ikatan agama.

Wanita muslimah cuba diberikan suntikan dos pelali untuk lupa diri bahawa Islam telah mengangkat kedudukan mereka di tempat yang memberikan mereka ruang yang sangat selesa untuk berganding bahu dengan muslimin. Secara cukup ringkas, ramuan terpenting untuk muslimah boleh sebaris dengan muslimin dalam menegakkan sistem Allah ialah Islam membenarkan wanita memperoleh kembali hak–hak mereka.

1. Dari sudut ekonomi, Islam membenarkan wanita memiliki harta, mewarisinya, mengusahakannya dan bekerja mencari rezeki.

2. Dalam bidang pendidikan, tidak dibezakan galakan untuk menuntut ilmu antara lelaki dan perempuan bahkan Rasulullah SAW menggalakkan kaum wanita menuntut ilmu.

3. Dalam bidang kemasyarakatan, wanita digalakkan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti sukarela. Mereka membantu orang susah dan mendermakan harta

mereka.

4. Wanita juga dibenarkan menyumbang bakti di medan perang. Rasulullah SAW sendiri membenarkan isteri-isteri Baginda SAW menyertai perang. Bahkan ada yang turut berperang di medan.

Kesimpulannya Islam telah mengangkat martabat wanita dari dua segi.

Pertama: Islam telah membebaskan mereka dari cengkaman amalan tradisi masyarakat jahiliyyah yang menindas dan meminggirkan kaum wanita.

Kedua: Islam memberikan wanita hak-hak sebagai manusia yang selama ini telah dinafikan daripada mereka.

Ini berlainan sekali dengan kedudukan wanita di barat yang melalui fasa-fasa perkembangan zaman yang penuh dengan situasi seperti ‘terlepas dari mulut buaya ke mulut harimau’.

Pada kurun pertengahan, wanita diperlakukan persis bukan seumpama ‘manusia’ (Mohammad Ahmad Sibai 1981).

Semasa revolusi perindustrian pula wanita telah diperah keringat mereka dengan mereka tetap ternafi daripada mendapat hak-hak yang sepatutnya bagi mereka bahkan mereka terbeban dengan kaum lelaki yang melepaskan tanggungjawab mereka kepada kaum wanita (Solah Abdul Ghani 2001).

Revolusi Perancis 1789 seperti memberikan satu pengharapan baru kepada wanita barat dengan slogan ‘kebebasan, samarata dan persaudaraan’. Kesan Perang Dunia Kedua di mana bilangan wanita melebihi bilangan lelaki akibat perang telah memaksa kaum wanita di barat untuk berjuang meneruskan kehidupan mereka.

Mereka tetap juga dilayan dengan layanan yang tidak adil memaksa mereka terpaksa menuntut hak-hak mereka dengan berbagai-bagai cara.

Kemuncaknya ialah gerakan pembebasan wanita di England pada tahun 1903 (Solah Abdul Ghani) yang menfokus kepada tiga perkara iaitu hak sama rata sepenuhnya antara lelaki dan perempuan, menuntut kemerdekaan sepenuhnya menjalani kehidupan tanpa sebarang kongkongan, hak untuk ikhtilat (bercampur) dengan lelaki dalam persaingan tanpa syarat (Solah Abdul Ghani).

Namun masih banyak lagi hak-hak yang ternafi daripada wanita barat dan sekiranya mereka memperoleh hak mereka pun, mereka telah tersilap dalam menggunakannya disebabkan mereka tiada panduan Ilahi seperti memberi kebebasan kepada wanita menentukan masa hadapan nya sendiri selepas mereka baligh.

Jalur kehidupan wanita barat yang mereka lalui sungguh berbeza dengan batas teratur yang disediakan oleh Islam kepada muslimah. Gerakan memaksa wanita muslimah untuk turut serta menyetujui pembebasan wanita barat adalah gerakan yang patut ditolak oleh muslimah dan sepatutnya mereka mengatakan ‘kami bangga dengan batas kami sendiri’.

Islam sebagai saingan sistem jahiliyyah telah membuka ruang yang adil dan sangat selesa untuk wanita berganding bahu bersama-sama orang lelaki dalam usaha bersama-sama menegakkan sistem Allah menggantikan sistem jahilyyah.

Inilah perkara yang sangat digeruni dan mimpi buruk yang menghantui sistem Jahiliyyah dan pendokong-pendokongnya. Wanita muslimah yang mereka sangat geruni ialah muslimah yang celik dan sedar akan tanggungjawab mereka terhadap Islam.

Islam tetap dengan sistemnya yang satu akan berhadapan dengan Jahiliyyah yang telah dan akan tampil dengan berbagai-bagai wajah dan pendekatan.

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”(QS al An’am 153)

USTAZ ZAMRI HASHIM

Timbalan Mufti Perak