Antaranya termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) melalui program MyKorban di 14 negara.

Pengerusinya, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor memberitahu, 14 negara berkenaan adalah Palestin, Syria, Nepal, Myanmar, Filipina, Lubnan, Malaysia, Yemen, Vietnam, Sri Lanka, Kemboja, Somaliland, Cox’s Bazar dan Sudan.

“Program yang menyasarkan 100,000 penerima itu memperuntukkan 995 haiwan korban iaitu 235 lembu, 680 kambing, 60 kerbau dan 20 unta.

“Berasaskan kepada jumlah tersebut, MyCare menyasarkan mengumpul dana RM1.5 juta sebelum ketibaan Aidiladha,” katanya ketika melancarkan program itu di ibu pejabat MyCare di Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Program MyKorban yang memasuki tahun ke 21 itu menawarkan korban lembu, antaranya di Palestin (RM1,900 satu bahagian) dan korban kambing di Syria (RM1,200 seekor).

Terbaharu, program turut menawarkan korban unta yang bakal dilaksanakan di Sudan pada harga RM650 satu bahagian dan harga terendah ditawarkan pada tahun ini ialah korban kerbau yang bakal dilaksanakan di Nepal pada harga RM250 satu bahagian.

Selain itu Hafidzi berkata, untuk memberi peluang kepada masyarakat umum merasai sendiri keadaan dan suasana di negara terlibat, MyCare akan menganjurkan program ‘Kembara Korban’ ke Vietnam dan Nepal.

“Untuk pakej lima hari empat malam ini peserta kembara bakal menyambut Aidiladha di negara berkenaan dan berpeluang menyertai sendiri pelaksanaan ibadah korban di negara tersebut di samping melawat destinasi bersejarah dan menarik serta menziarahi orang Islam tempatan.

“Pakej Kembara Korban ke Nepal berharga RM3,500 seorang manakala pakej ke Vietnam adalah RM2,750. Kedua-dua harga ini termasuk satu bahagian korban,” katanya.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari Facebook mykorbanHQ atau menghubungi 019-2276760.

SERENDAH RM350

Sementara itu Aqiqah Qurban For Ummah (AQ4U) turut berhasrat menganjurkan ibadah korban di Cox’s Bazar, Bangladesh dan Chad, Afrika.

Pengarah Urusannya, Abdul Halim Othman berkata, ia bertujuan membantu umat Islam di negara memerlukan selain melahirkan rasa ukhuwah Islamiah dan kemanusiaan merentasi negara bangsa serta warna kulit.

Katanya, AQ4U merupakan organisasi yang berpengalaman luas dalam menjalankan ibadah korban dan akikah.

“Kami memilih kedua-dua lokasi tersebut memandangkan Cox’s Bazar merupakan kawasan pelarian Rohingya yang daif dengan kepadatan penduduk mencecah sejuta pelarian.

“Pengalaman melaksanakan korban di Chad tahun lalu memberi kesan mendalam kepada kami apabila melihat keadaan penduduk yang daif selain masalah hubungan telekomunikasi dan infrastruktur lemah,” katanya.

Dalam usaha melaksanakan ibadah tersebut, AQ4U menawarkan harga istimewa iaitu RM350 untuk satu bahagian lembu dan RM580 untuk seekor kambing.

Selain itu, AQ4U turut berhasrat membantu membina telaga air kepada penduduk di sana melalui hasil sumbangan orang ramai.

Harga satu telaga adalah sebanyak RM5,000 dan bagi projek Infaq tersebut, AQ4U memerlukan sumbangan daripada 25 peserta dengan sumbangan sebanyak RM200 untuk satu bahagian.

Orang ramai yang ingin mengambil bahagian boleh menghubungi AQ4U di talian 019-3586246 atau layari laman Facebook, Aqiqah Qurban Ummah untuk maklumat lanjut.