Tidak keterlaluan jika MRA adalah jagoh dalam pelaksanaan kerja-kerja amal di luar negara.

Bagaimanapun, MRA tidak pernah melupakan rakyat negara sendiri kerana MRA mempunyai misi dan visi yang seimbang dalam melakukan kerja-kerja amal.

Pagi tadi, Setiausaha Agung MRA, Dr. Shahrizal Azwan Samsudin tampil sebagai tetamu segmen bual pagi, Mornink Blues yang disiarkan secara langsung di Facebook Utusan Online dan aplikasi Daily Motion.

Menurut Dr. Shahrizal Azwan atau lebih mesra dengan panggilan Dr. Azwan, ada dua perkara yang beliau ingin tampilkan kepada rakyat Malaysia pada pagi ini.

"Pertamanya ialah berkenaan lebihan lembu yang diterima oleh masjid-masjid dalam negara. Kita minta agar pihak pengurusan masjid yang menerima bilangan lembu yang lebih sumbangan daripada jemaah masjid, jangan ditolak sebaliknya boleh kerjasama daripada pihak pengurusan masjid yang berkenaan agar menghubungi MRA.

"MRA yang mempunyai lapan buah cawangan iaitu di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak boleh mengagih-agihkan lembu berkenaan," katanya usai Mornink Blues.

Kata Dr. Azwan lagi, MRA boleh melaksanakan korban yang mana daging-daging korban itu akan diagih-agihkan dalam kalangan golongan asnaf, anak-anak yatim, fakir miskin, masyrakat Orang Asli, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan para mujahirin yang ada dalam negara ini.

KEMPEN MRA
 

Dalam masa yang sama, kata Dr. Azwan, MRA sedang membuat persiapan untuk menerima sumbangan yang telah masuk menerusi Kempen Qurban Terbaik Aidiladha 1440H.

"Sumbangan telah mula masuk dan MRA masih mencari lembu dan kambing untuk korban dan orang ramai yang mahu menyertai kempen ini, masih berkesempatan kerana tarikh tutup kempen ialah pada 6 Ogos nanti," katanya.

Kata Dr. Azwan lagi, dalam masa yang sama, Sedekah Korban dibuka kepada semua yang ingin menyertai program ini dengan minima RM50.

"Kita tahu ada yang mempunyai masalah kewangan untuk mengerjakan ibadah korban tetapi dalam hati, mereka teringin untuk menyumbang walaupun pahalanya berbeza.

"Maka itulah, kita ada Sedekah Korban yang mana duit yang disedekahkan itu, akan digunakan untuk membeli lembu atau kambing dan Sedekah Korban ini khusus untuk dalam negara," katanya.

Sedekah Korban adalah program sulung MRA tahun ini dan dilaksanakan selepas mengadakan perbincangan dengan beberapa ustaz.

Tanpa melupakan penglibatan MRA di luar negara, Dr. Azwan menjelaskan, Yemen menjadi salah sebuah negara yang diadakan Kempen Qurban Terbaik MRA 1440H.

Selain Yemen, korban di India juga termasuk dalam kempen tersebut kerana di bahagian Utara India, terdapat kawasan perkampungan yang terdiri daripada orang Islam berkasta rendah.

korban mra
 

"Mereka ini terdiri daripada orang miskin, miskin sederhana dan sangat miskin. Oleh itu, kerjasama MRA dengan sebuah NGO di India telah mengenalpasti kawasan untuk diagih-agihkan daging korban.

"Harga untuk satu bahagian korban di India adalah amat rendah iaitu RM180 sahaja," katanya. - UTUSAN ONLINE