Tidak dinafikan ada pihak yang berkemampuan, namun akibat tiada sikap menabung atau pengurusan kewangan yang baik menyebabkan perancangan tersebut sering kali tertunda.

Menyedari kealpaan seumpama itu menjadi penghalang kepada umat Islam menjejakkan kaki ke Tanah Suci, Al Murtajiz Travel Sdn. Bhd. (Al Murtajiz) tampil menyediakan perkhidmatan kaedah ‘menabung’ sekali gus merealisasikan hasrat mengerjakan umrah dalam tanpa memberi tekanan dan bebanan kepada pelanggannya.

Pengarah Urusannya, Mohd. Hasbullah Othman berkata, pihaknya terpanggil untuk melaksanakan sistem menabung atau ansuran kepada pelanggan Al Murtajiz yang berhasrat ke tanah suci menerusi pakej umrah, namun tidak mempunyai wang simpanan mencukupi.

Dia yang juga pendakwah bebas berkata, menerusi amalan menabung atau menyimpan dengan syarikat pelancongan Al Murtajiz, kemungkinan besar hasrat murni tersebut bakal tercapai tanpa memberi sebarang bebanan besar kepada pelanggan terutama untuk membuat pembayaran secara sekali gus.

“Selain tidak mengenakan sebarang faedah, simpanan secara menabung atau sistem ansuran ini juga diikat dengan surat perjanjian bagi memberi jaminan kepada pihak pelanggan seterusnya mengelak sebarang permasalahan atau kesulitan sama ada bagi pihak pelanggan atau syarikat pada masa hadapan.

“Menerusi kaedah penabungan sebanyak RM499 setiap bulan, dalam tempoh 11 bulan dengan izin Allah, pelanggan sudah layak untuk menunaikan umrah bersama Al Murtajiz,” katanya dalam sesi pengenalan pakej umrah syarikat itu bertempat di pejabat urusan Al Murtajiz di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu memiliki pengalaman luas sebagai pengurus di sebuah syarikat agensi umrah dan ziarah lain sebelum ini selain menjadi mutawif sejak 10 tahun lalu.

ZIARAH PERCUMA

Mengulas lanjut Mohd. Hasbullah berkata, meskipun Al Murtajiz baru beroperasi, namun bersandarkan pengalaman luas terdahulu sebagai mutawif dan menguruskan segala keperluan jemaah umrah sebelum ini, dua kumpulan jemaah umrah telah berjaya diuruskan dengan sempurna.

Apa yang menarik katanya, Al Murtajiz menawarkan pakej ziarah istimewa ke Taif secara percuma apabila kos lawatan sekitar RM230 seorang itu ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat. Selain itu peserta umrah juga dibekalkan dengan sebuah beg yang diberikan sebagai hadiah.

Menurutnya, Al Murtajiz menawarkan pakej umrah mampu milik serendah RM5,990 hingga RM7,490 seorang mengikut musim dengan menaiki penerbangan terbaik Saudi Airlines.

Bekas pelajar Pondok Pasir Tumbuh ini berkata, buat masa ini Al Murtajiz mempunyai empat ejen yang menguruskan jemaah umrah iaitu dua di Kedah selain masing-masing satu di Selangor dan Terengganu.

Ditanya mengenai sasaran agensi pengendali umrah itu, Mohd. Hasbullah berkata, pihaknya yakin untuk membawa 300 orang jemaah umrah bagi tempoh September ini sehingga hujung tahun.

Sehingga hari ini jelasnya, sebanyak 50 tempahan sudah dibuat untuk mengerjakan umrah bagi bulan November dan Disember. Rata-rata jemaah tersebut adalah mereka yang pernah mengikuti rombongan bersamanya sebelum ini.

“Alhamdulillah syukur, perkhidmatan kami di Al Murtajiz semakin diterima ramai biarpun baru beroperasi. Apa kami tekankan adalah kepuasan dan keselesaan buat semua jemaah yang berkunjung ke Tanah Suci selain menjadikan wadah ini sebagai medan dakwah terbaik kepada orang ramai.

“Mungkin atas perkhidmatan baik yang telah kami kemukakan kepada jemaah, hebahan secara mulut ke mulut oleh anak-anak murid pengajian saya di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang serta promosi daripada rakan kenalan, rezeki kami di Al Murtajiz terbuka luas bagi memberi khidmat kepada orang ramai yang ingin mengerjakan ibadah sunat ini,” katanya.

MUTAWIF TEMPATAN

Menurutnya, Al Murtajiz mempunyai enam mutawif tempatan yang berpengalaman termasuk beberapa pensyarah dari kolej universiti di negara ini yang akan memberi tunjuk ajar dan bimbingan dari mula hingga ke akhir sebelum pulang ke tanah air.

Jelasnya, peranan dan personaliti mutawif adalah penting bagi mewujudkan hubungan baik serta suasana selesa antara jemaah dan kumpulan pembimbing sekali gus mengelak perasaan malu bertanya terutama kepada mereka yang pertama kali mengerjakan umrah.

Selain itu menurutnya, pakej umrah yang ditawarkan Al Murtajiz juga menawarkan konsep penyucian jiwa dan memantapkan akidah menerusi penganjuran program qiyamullail, zikir dan tazkirah di tanah suci.

Tambahnya, antara keistimewaan lain yang disediakan oleh Al Murtajiz kepada kumpulan jemaah adalah menginap di hotel bertaraf lima bintang selain diskaun istimewa kepada mereka yang membuat pendaftaran secara ‘Combo Family’.

“Jemaah Al Murtajiz hanya perlu berjalan kaki sejauh 150 meter dari hotel ke pekarangan Masjidilharam, Mekah, manakala hanya 100 meter dari penginapan ke Masjid Nabawi,” katanya.