Bukan mahu mendabik dada, selebriti berusia 38 tahun ini sekurang-kurangnya boleh berbangga dengan diri sendiri kerana pada usia remaja, dia pernah mengajar anak-anak jirannya mengaji al-Quran.

SHARIFAH Zarina (kiri) bersama Ustazah Nur Alwani.
SHARIFAH Zarina (kiri) bersama Ustazah Nur Alwani.

Malah, satu pengalaman bermakna bagi Zarina kerana berjaya mengkhatamkan lima daripada pelajarnya.

“Sejak kecil, ayah terapkan amalan mengaji al-Quran pada kami adik-beradik. Saya bermula sejak tadika dan dua kali khatam iaitu ketika darjah satu dan darjah dua.

“Ayah juga mengajar anak-anak jiran. Jadi semasa di sekolah menengah saya bantu dia mengajar lima orang. Sambil mengajar, saya pun baca sekali dengan mereka.

“Seronoknya, saya juga dapat upah walaupun hanya RM10 tapi yang penting ikhlas dan saya rasa duit itu sangat berkat. Lebih bermakna, kelima pelajar saya berjaya khatam dan saya pun ikut khatam sebanyak lima kali,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini berkongsi pengalaman tersebut ketika kunjungannya ke Pondok Motivasi Tahfiz Hamlatul Quran (PMTHQ) baru-baru ini.

Pernah ‘khayal’

Kini amalan suka membaca al-Quran yang pernah diterap dalam diri itu disemaikan pula kepada anak-anaknya Athalia Deena, 16, Ariana Deena, 11, dan Alfenriz Habeeb, 10.

“Sebagai ibu bapa, kita mesti memainkan peranan dan memberi galakan serta kesedaran kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi.

“Di rumah, saya memang pesan dan menjadi rutin untuk anak-anak mengaji. Ataupun setiap kali ada masa terluang, saya sendiri akan ajar mereka,” tuturnya.

Dalam pada itu, penyanyi berasal dari Kuching, Sarawak ini mengakui, peluangnya bertemu dengan para pelajar perempuan di pondok tersebut secara tidak langsung mengingatkan kembali dirinya ketika di zaman persekolahan.

“Kalau adik-adik hendak tahu, saya bekas pelajar sekolah agama dan dulu bertudung labuh. Tetapi dek kerana minat saya pada dunia nyanyian, jadi saya nekad untuk mengejar cita-cita ini.

“Akhirnya saya dapat peluang membina nama dalam industri dan tidak dinafikan, saya pernah ‘khayal’ sekejap dengan keseronokan dunia seni.

“Tapi Alhamdulillah, saya cepat sedar dan berpatah balik serta mengamalkan semula baca Quran,” katanya yang sudah 15 tahun berkecimpung dalam dunia nyanyian.