Jikalau pada waktu siang pun agak ‘semput’ hendak dapat permit daripada si isteri, inikan pula hendak dapat kelulusan ‘lepas kandang’ pada sebelah malam untuk bersantai bersama rakan-rakan.

Bukan hendak buat jahat pun, sekadar hendak membasahkan tekak dan bersembang kosong bersama sahabat. Alasan sebegitu pun tidak boleh diterima, maka pelbagai helah terpaksa dicipta demi membolehkan diri dapat ‘bebas’ seketika bersama rakan-rakan.

Boleh dikatakan, situasi itu adalah dilema besar yang menghantui kaum Adam yang berumahtangga.

Kesimpulannya, jangan berharap sangat hendak lepas ‘gari’ sebelah malam, selain bulatkan tekad untuk ‘bertapa’ di rumah sambil tersenyum kelat bak kerang busuk.

Biarpun bukan semua golongan Adam yang berhadapan situasi sukar tersebut, namun itulah juga isu yang sering didengari daripada mulut si suami tatkala mereka dapat bertemu rakan masing-masing sekali-sekala.

Tetapi permasalahan besar yang dihadapi oleh kebanyakan kaum Adam yang telah berkahwin itu seakan-akan tidak terpalit kepada finalis rancangan Imam Muda musim kedua, Imam Muda Ammar, 35.

Bagi pemilik nama sebenar Ammar Wan Harun ini, beliau sebenarnya berasa bertuah kerana mendapat kepercayaan penuh daripada isteri, Nur Fazlien Al-Ain Mat Hasan, 31.

Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu berkata, kepercayaan yang diberikan oleh isteri digunakan sebaiknya untuk mencari rezeki halal buat keluarga tercinta biarpun terpaksa bersengkang mata sehingga larut malam.

Katanya, Nur Fazlien tidak pernah curiga biarpun beliau begitu sibuk menghadiri aktiviti atau program yang berlangsung sehingga lewat malam atau awal pagi. Malah si isteri juga tidak bertanya ke mana dia pergi walaupun tiba di rumah pada pukul 2 atau 3 pagi.

“Alhamdulillah, isteri saya sangat memahami tugas saya sebagai seorang penceramah dan terpaksa pulang lewat ke rumah kerana bersama orang ramai termasuk melayan pertanyaan dan persoalan daripada masyarakat tentang ilmu agama biarpun majlis telah lama tamat.

“Kadang kala, pesanan ringkas pun tidak dihantar. Tapi saya faham tindakannya itu kerana dia tahu suaminya sedang sibuk memberi ceramah dan melayan kumpulan masyarakat yang hadir ke majlis sekali gus tidak mahu mengganggu si suami yang sedang bertugas demi mencari nafkah buat keluarga tercinta,” katanya yang ditemui Mega, Mimbar, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran Program Kembara Qurban di Afrika anjuran pertubuhan bukan kerajaan, Pertubuhan Nadi Sihat yang terkenal dengan aktiviti mempromosi dan memberi kesedaran tentang gaya hidup sihat.

Untuk program kebajikan Pertubuhan Nadi Sihat di peringkat antarabangsa tersebut, Ammar dilantik sebagai ketua penyelaras dan ikon Program Kembara Qurban di Afrika seperti di Chad, Ethiopia, Ivory Coast serta Mali.

Yang turut hadir Presiden Pertubuhan Nadi Sihat, Azlina Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fahisha Irwan Mustafa.

PERLU JUJUR

Mengulas lanjut, Ammar berkata, kepercayaan diperoleh daripada isteri tersayang kemungkinan besar adalah berdasarkan prinsip diamalkan iaitu bersifat jujur dan tidak mempunyai sebarang rahsia dengan insan yang menjadi tulang belakang kepada kejayaannya selama ini.

Bapa kepada Uliya Wafiyya yang berusia empat tahun itu berkata, keikhlasan ditunjukkan selama hampir lima tahun perkahwinan mereka mungkin sedikit sebanyak mengajar si isteri bahawa beliau bukan jenis berselindung atau berahsia.

Selain itu menurutnya, kemungkinan sifatnya yang bukan lelaki jenis suka melayan perempuan menyebabkan si isteri lebih mudah menerima hakikat bahawa suaminya itu seorang setia.

“Pernah juga saya mengusik untuk melihat bagaimana reaksi Nur Fazlien dengan membuat provokasi mengatakan saya ada wanita lain. Nak tahu apa yang saya dapat lihat adalah dia buat tak tahu sahaja dan tidak percaya,” katanya sambil tertawa.

Tambah Ammar beliau juga sama sekali tidak pernah menghalang isterinya membuka telefon miliknya.

Jelasnya, bagi sesetengah suami, telefon adalah perkara peribadi yang tidak boleh ‘disentuh’ oleh isteri sekiranya tidak mendapat keizinan daripada si ketua keluarga.

Namun baginya, perkara itu bukan satu kesalahan buat isteri sekiranya mahu dilakukan dan tiada sebab untuk menghalang perkara itu.

Mengakui bukan semudah itu dia mendapat kepercayaan daripada isteri tercinta, Ammar berkata, pada awal perkahwinan perasaan cemburu tetap ada kerana itulah sikap wanita.

Tetapi jelasnya, setelah lama dalam alam perkahwinan dan membawa Nur Fazlien mengikuti segala aktiviti atau program dakwah yang disertainya, wanita itu mula memahami dan melihat sendiri perwatakannya.

Selain itu tambahnya, melihat sikapnya yang sememangnya tidak pandai hendak melayan kaum Hawa membuatkan Nur Fazlien untuk lebih ‘mengerti’ beliau sememangnya sentiasa ikhlas dalam perhubungan.

Menurutnya, terdapat satu amalan doa yang sering diamalkan sejak bertahun-tahun selepas setiap kali selesai mengerjakan solat iaitu membaca doa daripada ayat:74 Surah al-Furqan bagi memohon kurniaan kebahagiaan daripada Allah.

KATA-KATA CINTA

“Antara perkara lain yang sering saya amalkan dalam mengeratkan lagi hubungan kasih sayang kami sebagai suami isteri, saya akan mengungkapkan kata-kata cinta dan indah kepadanya setiap hari biarpun sekadar ‘I love u’.

“Selain itu, saya turut akan meluangkan masa untuk makan bersama di tempat-tempat yang menarik bagi membeli jiwa isteri yang sanggup berkorban demi suaminya.

“Saya buktikan kepada dirinya bahawa saya menghargainya setiap masa kerana sudi berkorban menjaga anak tercinta dan menjadi isteri yang solehah.

“Setiap wanita suka diri mereka dihargai terutama oleh suami tercinta. Apa yang pasti, saya tidak akan mempersia-siakan kepercayaan diberikan kepada saya,” katanya.