Pedoman

Malah, perbuatan memotong kuku adalah satu daripada perkara fitrah yang dianjurkan dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Lima perkara daripada fitrah ialah berkhitan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai.” - Riwayat al-Bukhari (5550) dan Muslim (257)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani juga menjelaskan bahawa bilangan (lima perkara) yang disebutkan sebenarnya tidak terbatas sebanyak itu sahaja, kerana terdapat dalam hadis lain perintah lain. (Lihat Fath al-Bari, 10/337)

Namun, jangan pula terikut amalan memotong kuku pada hari tertentu untuk mendapat kelebihan-kelebihan yang khusus kerana tiada nas hadis sahih menyebut tentang perkara tersebut.

Hadis yang menetapkan hari-hari tertentu dan kelebihan bakal diperoleh sekiranya memotong pada hari tersebut, sebenarnya adalah tidak sahih.

Imam al-Sakhawi menjelaskan: “Tidak ada satu pun hadis sahih daripada Nabi SAW yang menerangkan tentang tatacara dan penetapan hari-hari tertentu untuk memotong kuku.” (Lihat al-Maqasid al-Hasanah, halaman. 489)

Bagaimanapun, umat Islam digalakkan memotong kuku pada hari Jumaat seperti yang dilakukan oleh sebahagian sahabat Rasulullah SAW.

Terdapat beberapa riwayat daripada para sahabat dan tabi’in yang menunjukkan mereka memiliki kebiasaan memotong kuku pada hari Jumaat. Antaranya, Ibnu Umar r.a biasanya memotong kuku dan merapikan misai pada hari Jumaat. (Lihat al-Sunan Al-Kubra oleh al-Baihaqi, 3/244)

Seorang tabi’in, Muhammad Ibrahim al-Taimi berkata, “Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat dan memendekkan misainya maka dia telah menyempurnakan hari Jumaatnya.” (Lihat al-Musannaf oleh Abd al-Razzaq, 3/197)

Tetapi, sekiranya tidak sempat, seseorang itu boleh melakukannya pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai. Cuma, jangan dibiarkan kuku tidak dipotong melebihi 40 hari.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya: “Rasulullah SAW memberikan batasan waktu kepada kami untuk memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, dan mencukur bulu kemaluan, agar tidak dibiarkan lebih dari empat puluh hari.” - Riwayat Muslim (520), al-Tirmizi (2759) dan al-Nasa’ie (15)

Perkara itu dilakukan agar tiada kotoran terperangkap di bawah kuku dan agar tidak menghalangi masuknya air ketika berwuduk dan mandi.

(SUMBER : Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)