Satu perkara yang kerap terjadi ketika musim haji terutama dalam kalangan jemaah wanita Malaysia adalah sifat ‘tidak sebulu’ dengan rakan sebilik.

Ini kerana setiap jemaah memiliki peribadi berbeza dan terdiri daripada pelbagai latar belakang menyebabkan ada kalanya tindak tanduk yang dilakukan oleh rakan sebilik mengundang rasa tidak puas hati atau marah.

Bukan sekali dua, sebaliknya isu tersebut berlaku hampir setiap kali musim haji sehingga menyebabkan petugas haji terpaksa menukar dan memilih rakan sebilik yang lain.

Mengimbau kembali kenangan menjalankan tanggungjawab sebagai petugas haji, Raihanah Abdullah memberitahu, sifat ego dan tidak mahu mengalah menyebabkan berlaku perselisihan faham antara rakan sebilik.

Malah tambahnya, petugas perlu mengambil langkah menukar rakan sebilik bagi mengelakkan perselisihan dan pertengkaran daripada berlanjutan dan menjejaskan ibadah.

“Lebih menyulitkan keadaan apabila tiada bilik kosong atau jemaah lain enggan berpindah.

“Oleh itu, jemaah disarankan untuk merendah diri dan membuang segala sifat meninggi diri, melupakan apa jua jawatan yang dipegang serta berusaha menyesuaikan diri dengan rakan sebilik agar tidak berlaku perkara-perkara yang boleh menjejaskan ibadah,” katanya.

Beliau berkata, setiap individu tidak dapat mengelak daripada bercampur dengan pelbagai latar belakang, maka sikap toleransi amat penting bagi mententeramkan keadaan.

Raihanah turut menggalakkan jemaah agar berterus terang dan berkongsi masalah dengan petugas agar segala kesukaran atau masalah dapat diatasi segera.

RAIHANAH ABDULLAH (dua dari kiri) bergambar kenangan bersama jemaah haji di Hotel Sofaraa Iman di Ma
RAIHANAH ABDULLAH (dua dari kiri) bergambar kenangan bersama jemaah haji di Hotel Sofaraa Iman di Madinah. 

Katanya yang berpengalaman selama lima tahun sebagai petugas haji, apabila seseorang jemaah menerima segala kekurangan mahupun kelebihan jemaah lain akan menjadikan pengalaman mengerjakan haji sesuatu yang indah untuk dikenang selama-lamanya.

Bukan itu sahaja, ikatan persahabatan yang dibina di tanah suci akan tetap kekal walaupun masing-masing pulang ke tanah air selepas menyempurnakan Rukun Islam kelima itu.

BUANG SIKAP JENGKEL

Sepanjang mengerjakan ibadah haji, rakan sebilik diibaratkan seperti ahli keluarga atau sahabat baik.

Sifat saling mengerti, membantu, bertolak ansur dan memahami perlu diserapkan dalam diri jemaah agar perjalanan mengerjakan ibadah tidak terganggu.

Ini kerana rakan sebilik akan menjadi insan paling rapat dan diperlukan ketika berlaku kecemasan.

“Bayangkan jika berlaku kecemasan di bilik, sudah pasti rakan sebilik perlu mengambil tahu dan memberitahu petugas agar tindakan segera dilakukan. Bayangkan jika anda tidak sehaluan, bagaimana anda tidak sihat dan tidak ada yang ingin membantu kerana sikap anda yang cerewet dan menjengkelkan?

“Kerana itu penting mengenali dan bersahabat tanpa mengira latar belakang dengan rakan sebilik. Lagipun amalan bersahabat merupakan sesuatu yang mulia di sisi Allah,” jelasnya.

Kata Raihanah, mencari kesalahan dan kelemahan rakan sebilik merupakan perbuatan yang tidak disenangi apatah lagi ketika berada di tanah suci, sebaliknya jemaah disaran menjaga perbuatan, lisan dan hati agar ibadah yang dilakukan diterima Allah.

Sepanjang berada di tanah suci, jemaah sepatutnya memberi fokus terhadap Rukun Islam kelima itu dan bukannya memikirkan perkara remeh.

“Lebih baik menghabiskan masa membaca al-Quran, bersembahyang dan berdoa daripada mencari kelemahan pihak lain ketika berada di dalam bilik.

“Justeru, saya kerap menasihati mereka sebelum berangkat ke tanah suci agar ‘membersihkan’ diri daripada sifat seperti cerewet, berasakan dirinya sahaja yang betul dan sedaya upaya mengamalkan sikap bertoleransi, bertimbang rasa dan menerima kelainan dalam kalangan mereka agar tugas dapat dilaksanakan dengan sempurna,” jelasnya.