Inilah keunikan di negara majoriti Islam seperti Malaysia yang menjadikan khutbah Jumaat sebagai medium penting dalam menyampaikan mesej-mesej alam sekitar kepada masyarakat.

Sebagai contoh, dalam khutbah Jumaat di masjid Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, baru-baru ini, khatib menyentuh tentang mesej penjagaan alam sekitar dan isu semasa seperti strok haba dan kepentingan untuk jemaah sentiasa menjaga kesihatan pada musim cuaca panas melampau.

Jika kita amati, ia bukan sesuatu yang baharu untuk mendengar mesej alam sekitar sebegini disampaikan dalam khutbah-khutbah Jumaat di Malaysia.

Namun, penyampaian mesej alam sekitar menerusi khutbah Jumaat ini agak berbeza dengan penyampaian secara konvensional di luar masjid.

Hal ini kerana, khatib semasa khutbah akan mengaitkan mesej alam sekitar dengan elemen-elemen dakwah dalam Islam seperti kepentingan dan amanah Muslim sebagai khalifah dalam menjaga alam sekitar sebagaimana yang dituntut oleh Allah SWT.

Malah, petikan al-Quran dan hadis yang berkaitan dengan penjagaan alam sekitar juga disampaikan kepada jemaah seperti firman Allah dalam surah ar-Ruum: 41 bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Ini bermakna, mesej alam sekitar tidak lagi disampaikan semata-mata tentang penjagaan dan pemuliharaan tetapi turut tertumpu kepada aspek alam sekitar dalam perspektif agama Islam.

Ia sekali gus memberi gambaran jelas kepada jemaah bahawa Islam adalah agama yang menuntut umatnya untuk sentiasa menjaga kesejahteraan alam sekitar demi kesejahteraan manusia sejagat.

Di Kanada contohnya, satu kempen yang dinamakan sebagai Green Khutbah (Khutbah Hijau) telah diadakan oleh Khaleafa.com iaitu satu laman web yang diwujudkan untuk menyampaikan mesej alam sekitar dalam perspektif Islam kepada komuniti Muslim.

Dalam kempen Khutbah Hijau ini, umat Islam digalakkan untuk mempromosikan kesedaran alam sekitar dan antaranya adalah menerusi penyampaian mesej ‘hijau’ oleh imam masjid dalam khutbah mereka.

Hakikatnya, Islam adalah agama indah yang sentiasa mendidik umatnya ke arah kebaikan khususnya penjagaan alam sekitar.

Justeru, diharapkan penyampaian mesej berkenaan alam sekitar dalam khutbah Jumaat di Malaysia dapat terus dipertingkatkan bagi meningkatkan kesedaran dan literasi masyarakat terhadap isu alam sekitar.

PENULIS adalah Pensyarah Komunikasi Alam Sekitar, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia.