Menurut beliau, kafetaria yang baru dibuka itu merupakan antara perkhidmatan yang ditawarkan di penginapan-penginapan jemaah bagi mengurangkan kerinduan kepada masakan Malaysia.

Katanya, setakat ini kafe yang terletak di aras paling bawah Hotel Abraj-Aljanadriyah itu menawarkan beberapa jenis kuih-muih dan minuman untuk jemaah.

“Selain itu, jemaah boleh mendapatkan makanan tengah hari dan malam percuma yang dimasak oleh tukang masak Malaysia dengan citarasa negara kita,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, makanan untuk makan tengah hari dan malam dibungkus dalam pek dan dile­takkan dalam bekas pemanas makanan untuk membolehkan jemaah menikmati makanan dalam keadaan panas.

Menurutnya, setiap Maktab di bawah Tabung Haji menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk jemaah se­perti perkhidmatan penyajian makanan, bimbingan ibadat, klinik kesihatan, te­lekomunikasi, kurier, program ziarah luar dan sebagainya.

“Hari ini saya lihat ramai jemaah yang memilih program ziarah luar yang sesetengah dari­padanya membolehkan mereka menunaikan umrah buat kali kedua,” tambahnya.

Ziarah luar melibatkan beberapa pakej ziarah sekitar Ziarah Kota Mekah dan Ziarah Hudaibiah yang mana jemaah boleh melakukan umrah sunat di Miqat Jaaranah dan Hudaibiah.

Ditanya perkhidmatan paling banyak digunakan di Maktab, Mohd. Nasir berkata, perkhidmatan kewangan untuk mengeluarkan wang dan perubatan merupakan kaunter-kaunter yang sering dikunjungi.

Sesi bimbingan ibadat juga adalah perkhidmatan yang sangat diperlukan oleh jemaah bagi membolehkan mereka mengulangkaji pengetahuan melakukan ibadat haji dan umrah yang dipelajari di tanah air, katanya.

Zainah Musa, 69, dari Kedah yang membahasakan dirinya ‘Mak Su’, dia sangat berpuas hati dengan perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan oleh Tabung Haji yang memudahkannya menunaikan ibadat tanpa masalah.

“Mak Su sebak apabila berpeluang menjadi tetamu Allah dan berharap anak-anak di kampung menjaga diri baik-baik sepanjang Mak Su berada di tanah suci,” tambahnya. - UTUSAN