MEMALUKAN sekali nasib si Abu Jahal, dahulu di Mekah sombong mengutuk serta menindas Rasulullah, tetapi siapa tahu takdir ajalnya ‘diprogramkan’ Allah semenjak azali jatuh pada tangan dua remaja beriman dari kabilah Ansar.

Dua pahlawan muda itu adalah Mu’adh ibn ‘Amru ibn al-Jamuh dan Mu’adh atau Mu’awwidh ibn ‘Afra’ (Sahih Bukhari dan Muslim)

UMAT Islam memperoleh kemenangan besar dalam Perang Badar. GAMBAR
UMAT Islam memperoleh kemenangan besar dalam Perang Badar. GAMBAR 

Kisahnya, ketika Abdul Rahman Ibn Awf r.a. bersiap siaga menanti sebelum tercetusnya perang Badar, beliau disapa dua harimau muda:

“Wahai pak cik, adakah pak cik kenal Abu Jahal?” getus seorang daripada pemuda itu.

Abdul Rahman menjawab: “Ya! Mengapakah kamu bertanya tentang perihalnya?”

Dengan nada tegas remaja itu menjawab: “Kami dengar dia selalu mencaci Rasulullah, demi (Allah) yang jiwaku berada pada tangan-Nya, jika aku mendapatinya sudah pasti aku tidak akan melepaskannya sehinggalah dia mati terlebih dahulu daripada kami.” Abdul Rahman terpegun dan mendapati temannya juga berkata demikian.

Setelah perang tercetus, Abdul Rahman mengerling dua remaja itu lalu menunjukkan kepada mereka berdua yang mana satu ‘Firaun’ zaman Nabi Muhammad SAW bergelar Abu Jahal itu.

Sejurus itu juga dua remaja Ansar itu menerkam Abu Jahal dengan pantas lagi ganas seakan dua helang menerkam si arnab yang terkapai-kapai mencari perlindungan.

Nasib Abu Jahal sama dengan musuh Allah lain dalam sejarah manusia sebagaimana firman Allah ertinya: “Maka setiap mereka (umat lampau pendusta para nabi mereka) Kami binasakan dengan sebab dosanya, ada antaranya yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang mengempa bumi; ada yang Kami timbus dia dalam bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan dalam laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.” (al-Ankabut: 40)

Satu riwayat menyebut, ketika mayat Abu Jahal ditemukan, terdapat lebam besar iaitu sebesar tapak kasut pada belakangnya. Rasulullah mengatakan ia adalah kesan pukulan malaikat (Tafsir al-Tabari). Ia disebut Allah dalam kisah perang Badar dalam surah al-Anfal:

Ertinya: “Dan (amatlah ngeri) kalau engkau melihat (wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): “Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar.” (al-Anfal: 50)

Selain Abu Jahal, menurut catatan ulama, sejumlah 70 tentera musuh dibunuh dalam perang Badar dan 70 yang lain ditawan hidup. Pun begitu, ada tiga kepala Musyrikin Quraisy yang dibunuh selepas ditawan iaitu al-Nadhar bin al-Harith, ‘Uqbah bin Abi Mu’ayt dan Tu’aymah bin ‘Adi (Tafsir Ibn Kathir).

Pembunuhan itu tidak bertentangan dengan keadilan Islam kerana pembunuhan mereka berlaku atas arahan Rasulullah yang melihat besarnya jenayah mereka terhadap baginda dan Islam ketika di Mekah. 


KEMENANGAN MUSLIMIN

Selepas mendapat kemenangan besar dalam perang Badar, Rasulullah mengutus Abdullah bin Rawahah dan Zayd bin Harithah balik mengkhabarkan kemenangan tentera Muslimin.

Berita itu disambut dengan laungan takbir dan kesyukuran. Ketika berita ini sampai, penduduk Madinah baru sahaja mengebumikan puteri Rasulullah iaitu Ruqayyah r.ha. yang meninggal dunia. Kegeringan beliau sebelum tercetusnya perang Badar menjadi sebab Saidina Uthman ibn Affan r.a. tidak dapat ikut serta dalam perang Badar.

Walaupun umat Islam dikurniakan anugerah berharga kemenangan, ada segelintir umat Islam yang tersalah pihak terbunuh di pihak musuh. Mereka adalah beberapa pemuda malang yang pernah memeluk Islam ketika Rasulullah berada di Mekah.

Setelah hijrah, mereka enggan berkorban dan kekal di Mekah bersama keluarga. Ketika kerahan dibuat oleh orang Mekah untuk ke medan Badar, mereka dipaksa keluar bersama orang Mekah melawan Rasulullah. Akhirnya mereka terbunuh di pihak Musyrikin. (Sahih al-Bukhari).

Mereka adalah ‘Ali bin Umayyah bin Khalaf, Abu Qays bin al-Walid bin al-Mughirah, Abu al-‘As bin Munabbih bin al-Hajjaj dan al-Harith bin Zam’ah (Tafsir Ibn Kathir).

Nasib malang disebut Allah dalam firman-Nya ertinya: “Sesungguhnya orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (al-Nisa’ :97)

  • Rujukan: Sirah Ibn Ishaq, Sirah Ibn Hisyam, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, al-Rahiq al-Makhtum, al-Sirah al-Nabawiyyah Li al-Nadawi, al-Sirah al-Nabawiyyah Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah Li Muhammad Abu Syahbah