Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd. Rahman berkata, peranan sukarelawan daripada kalangan jemaah tersebut sangat penting kerana ia melancarkan urusan perjalanan, penginapan dan kebajikan jemaah.

Katanya, melalui maklum balas yang diterima, Sahabat Maktab didapati amat berdedikasi, komitmen tinggi dan sentiasa sedia memberikan khidmat pada bila-bila masa.

"Misalnya, ketika di Arafah, mereka sepatutnya melakukan ibadat dan berdoa di dalam khemah tetapi tidak mahu melepaskan peluang membantu jemaah-jemaah lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penghargaan Sahabat Maktab di ibu pejabat Tabung Haji di sini hari ini, yang turut dihadiri timbalan-timbalan ketua rombongan haji, pengarah-pengarah operasi dan pengurus-pengurus maktab.

Program Saha­bat Maktab mula diperkenalkan pada 2006 yang terdiri daripada Sahabat Maktab Tabung Haji, Sahabat Ibadah dan Sahabat Medik.

Syed Saleh berkata, para jemaah di masa depan yang ingin menjadi Sahabat Maktab perlu memahami perjalanan operasi haji bagi memudahkan mereka menyiapkan diri daripada segi mental dan fizikal.

"Untuk tujuan itu, Tabung Haji akan menyediakan video-video mengenai perjalanan operasi haji dan peranan Sahabat Maktab untuk diberikan kepada jemaah yang berminat di masa depan," tambahnya.

Wakil Sahabat Maktab, Dr. Yusni Yusuff berkata, peranan mereka ketika menjadi Sahabat Maktab sememangnya amat mencabar kerana jumlah petugas haji amat sedikit berbanding jumlah jemaah yang mencapai lebih 30,000.

Katanya, jemaah pula sentiasa ingin mendapatkan maklumat-maklumat yang mereka sendiri tidak ada da kadang kala boleh menyebabkan jemaah tidak berpuas hati.

"Kadang kala takut hendak memakai rompi (vest) ini kerana kami juga akan mudah kena marah," katanya. - UTUSAN ONLINE