Jawapan: Sesuatu kesilapan tetap kesilapan. Namun terdapat dua perkara yang perlu diberi perhatian.

1- Hendaklah dipastikan ia satu kesilapan yang betul-betul salah. Ini kerana ada banyak perkara dalam solat yang menjadi perbezaan pendapat ulama.

Contohnya meletakkan tangan di dada atau bawah pusat. Katakan tuan beramal dengan cara meletakkan tangan atas dada ketika solat berdasarkan riwayat hadis. Maka tuan melihat seseorang yang bersolat dengan meletakkan tangan di bawah pusat telah melakukan kesilapan.

Sebenarnya tuan sendiri tersilap. Ini kerana ada pendapat ulama yang menyatakan bahawa tangan diletakkan di bawah pusat ketika berdiri dalam solat. Oleh itu, pastikan dahulu sesuatu kesilapan pada pandangan tuan adalah juga kesilapan pada pandangan insan yang hendak ditegur.

2- Hendaklah kesilapan itu ditegur dengan cara berhemah iaitu secara bijak.

Contohnya, dikisahkan dalam riwayat hadis bagaimana seorang lelaki Arab Badawi kencing dalam masjid. Para sahabat ingin menghalau lelaki itu keluar dari masjid. Namun Nabi SAW meminta dibiarkan lelaki itu kencing. Kemudian Nabi SAW memanggil lelaki Badawi itu dan menerangkan ketidakharusan untuk kencing dalam masjid.

Baginda juga menjelaskan tentang tatacara membersihkan tempat yang terkena najis kencing. Maka tindakan Nabi

SAW adalah tindakan yang berhemah.

TIADA SIAPA TAHU WAKTU AJAL

Soalan: Seorang insan berjanji untuk menjadi baik apabila umurnya sampai 40 tahun. Ini kerana umur itu disebut dalam al-Quran. Umurnya sekarang sekitar 35 tahun. Bolehkah ditangguh untuk menjadi baik?

Jawapan: Usia 40 tahun memang disebut dalam al-Quran. Jika seseorang berubah menjadi baik ketika usia 40 tahun, ia adalah sesuatu yang baik. Namun begitu, sikap suka menangguhkan adalah sikap tidak baik.

Seseorang tidak bersolat fardu dan berjanji untuk melakukannya pada usianya 40 tahun. Terdapat dua isu:

1- Perbuatan meninggalkan solat fardu adalah dosa besar.

2- Tiada siapa pun mengetahui waktu ajalnya.

- Kemungkinan mati sebelum usia 40 tahun yang bermakna mati dalam keadaan derhaka.

Justeru, bagi yang masih muda hendaklah dijaga perkara wajib, contohnya solat fardu. Kemudian apabila usia 40 tahun nanti dia berjanji untuk meningkatkan amalan solat sunat maka penangguhan sebegini tidaklah memudaratkan diri. - UTUSAN ONLINE