Selain Kumpulan Media Karangkraf sendiri, agensi lain yang terlibat termasuk Kumpulan Utusan, Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), The Star, Astro, Kumpulan Media Prima dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Turut bersinergi menjayakan kempen yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu ialah Bernama, Bernama News Channel (BNC), TV Alhijrah, TVIkim, IKIMfm, Media Jakim, DenaiHati Network dan Ideaktiv.

Malaysia#QuranHour 2019 yang bertemakan ‘Pesan Kemerdekaan Surah Al-Kahf’ bakal berlangsung pada 30 Ogos ini selama sejam bermula pukul 11 pagi di Masjid Putra, Putrajaya.

Bagi penganjuran kali kelima ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selaku penaung mengangkat kempen tersebut sebagai agenda nasional untuk mengajak orang ramai mendekati al-Quran sebagai panduan kehidupan.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir daripada Surah Al-Kahf bakal diperdengarkan semasa majlis itu oleh qari-qari yang pernah menjadi johan dalam Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa.

Pengisian berikutnya, kata beliau, akan disusuli dengan tadabbur, Resolusi Al-Kahf, Pesan Kemerdekaan oleh tokoh dan diakhiri dengan doa untuk kesejahteraan Malaysia.

“Surah Al-Kahf dipilih dalam kempen kali ini kerana intipatinya yang boleh dijadikan panduan untuk membentuk ummah berbudi dan penyayang dengan membawa pesan kemerdekaan daripada al-Quran dalam menangani dan melahirkan solusi terhadap cabaran akhir zaman.

“Sehubungan itu, adalah diharapkan agar agensi-agensi media di negara ini sekali lagi dapat meneruskan gelombang tsunami kepada orang ramai untuk menyertai Malaysia#QuranHour pada 30 Ogos ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE