Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, Allahyarham Faridah Abdul Altif, 65, dari Pahang itu meninggal dunia akibat serangan jantung selepas melakukan ibadat melontar di jamrah.

"Jemaah tersebut meninggal dalam perjalanan balik ke khemah dan terkena serangan jantung di terowong Muassim dan disahkan meninggal dunia pada pukul 7.05 malam," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Rawatan Tabung Haji Syisyah di sini, malam tadi.

Beliau juga berkata, sebanyak 79 orang jemaah haji yang sedang dirawat di hospital Tabung Haji telah dibawa melakukan ibadat wukuf semalam melalui program Safari Wukuf.

Melalui program itu, pesakit yang sedar akan dibawa seketika untuk berada di Arafah selepas masuknya waktu wukuf menggunakan ambulans dan bas-bas khas untuk membolehkan mereka melaksanakan salah satu rukun haji.

"Namun terdapat enam pesakit kritikal yang sedang mendapatkan rawatan di hospital-hospital Arab Saudi tidak dapat dibawa ke Arafah kerana koma," tambahnya.

Beliau berkata, kebanyakan mereka menghidap penyakit kritikal seperti masalah jantung, jangkitan kuman di paru-paru, penyakit tibi dan sebagainya.

Katanya, rombongan perubatan untuk musim haji tahun ini terdiri daripaa 23 orang doktor pakar, 38 doktor dan 226 lain-lain anggota perubatan.

"Pusat rawatan Syisyah tersebut mempunyai 197 katil dan beberapa kemudahan makmal yang baik, klinik gigi, klinik psikiatri dan sebagainya," tambahnya. - UTUSAN ONLINE