Ini kerana bukan hanya dapat melengkapkan Rukun Islam kelima, malah berpeluang mengunjungi tanah kenabian Masjidilharam, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah yang menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia.

Keterujaan itu turut dikongsi oleh Pengurus Besar Operasi Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Roha Hassan apabila dapat mengerjakan haji 10 tahun lalu. Malah, perasaan itu turut disertakan dengan niat untuk meneruskan kerja-kerja sukarelawan sepanjang di tanah suci.

Lagipun tambahnya, ketika menerima tawaran tersebut, beliau masih belum berkahwin dan sudah pasti ada banyak masa terluang untuk meneruskan niat itu.

“Saya memang aktif dalam kerja-kerja sukarelawan sejak dari bangku sekolah dan apabila berpeluang menunaikan ibadat haji pada 2009, saya pasang niat selain memfokuskan kepada ibadat fardu, saya mahu teruskan kerja-kerja sukarelawan.

“Jadi, bila sampai di Mekah, saya mendaftar sebagai Sahabat Tabung Haji yang berperanan untuk membantu kakitangan Tabung Haji menguruskan jemaah sepanjang berada di Mekah dan Madinah,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Roha menceritakan antara tugas sukarelawan yang dijalankan adalah membantu jemaah haji khususnya warga emas atau mereka yang kurang upaya ketika di Masjidilharam dan menyempurnakan rukun haji.

Ada ketikanya, beliau menjadi orang tengah menyelesaikan masalah komunikasi antara suami isteri atau ahli keluarga jemaah, lupa jalan pulang ke tempat penginapan dan melawat jemaah kurang sihat.

“Antara yang paling sibuk adalah ketika jemaah haji bergerak menuju Arafah untuk berwukuf dan melontar di Mina kerana bagi yang kurang upaya memang sukar tanpa bantuan,” katanya.

BINA UKHUWAH

Lebih menarik katanya, ia juga memberi peluang kepada beliau membina semangat ukhuwah dengan jemaah haji Malaysia dan negara lain dan ada antara kenalannya itu masih berhubung sehingga hari ini.

Tambahnya, hubungan itu terjalin ketika di maktab penginapan, mengikuti jadual lawatan oleh Tabung Haji dan ketika beriktikaf di Masjidilharam serta Masjid Nabawi.

“Mungkin sikap peramah yang dibina sepanjang bergiat aktif dalam kerja-kerja sukarelawan lebih memudahkan saya mendekati jemaah lain,” katanya.

Dalam masa sama, Roha menasihatkan jemaah haji agar tidak bimbang atau takut keterlaluan berhubung suasana di Mekah dan Madinah.

Ini kerana tambahnya, perasaan itu akan mendorong seseorang jemaah untuk bersikap buruk sangka, bukan hanya kepada jemaah negara lain tetapi sesama sendiri.

“Sikap itu menyebabkan kita lebih suka menyendiri atau hanya berkawan dengan pasangan masing-masing sedangkan pengalaman saya menunjukkan suasana kehidupan di Mekah dan Madinah amat menarik.

“Bukan hanya lebih fokus kepada ibadat tetapi dapat berukhuwah, ziarah tempat menarik, laksanakan kerja-kerja sukarelawan dan memahami erti kesyukuran apabila terpilih untuk mengunjungi Mekah,” katanya.