Dalam masa sama, kempen World#QuranHour turut diadakan secara serentak di lebih 2,100 lokasi dalam negara di samping 79 lokasi dari 27 penyertaan negara luar.

Surah yang mengandungi 110 ayat tersebut dibaca secara bergilir-gilir oleh 12 qari daripada pelbagai latar belakang dan usia sambil diiringi oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan orang ramai yang hadir.

Bacaan surah yang mengambil masa kira-kira sejam itu dilihat cukup bermakna bukan hanya kerana menghayati empat kisah utama tetapi juga sejajar dengan saranan Rasulullah SAW kepada umatnya untuk menghadapi fitnah dajjal.

Menariknya, pemilihan surah tersebut selari dengan tema sambutan ‘Solusi Cabaran Sejagat’ yang memberi penekanan siap siaga umat Islam dari perspektif fizikal, emosional, intelek dan spiritual dalam menangani dunia era masa kini.

Kefahaman surah al-Kahfi juga berupaya menjadi benteng dan landasan agar ummah berupaya mengemudi kehidupan mengikut panduan al-Quran daripada kerangka digariskan oleh Allah.

Malah, penganjuran program yang masuk tahun keempat itu dilakukan bagi mengambil semangat dan keberkatan 10 hari terakhir Ramadan.

Selesai bacaan itu, majlis diteruskan dengan sesi tadabbur surah Gua tersebut oleh Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail dan Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemasyarakatan UIAM, Prof. Madya Dr. Habeeb Rahman Ibramsa.

Diteruskan lagi dengan bacaan ikrar diketuai oleh pengacara dan penyampai radio, Mat Dan atau Mohammad Kareef Daniel Abdullah sebelum diakhiri dengan lafaz doa oleh Pengarah Pusat Islam UIAM, Prof. Madya Dr. Akmal Khuzairy Abd. Rahman.